Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS sambung baiah nabi
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 12:27 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

PAS hari ini menegaskan amalan mewajibkan baiah kepada kepada semua calonnya diwarisi daripada amalan Rasulullah SAW.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata baiah mempunyai kaitan dengan iman seseorang kepada Allah dan hari akhirat.

Katanya berkata semasa Nabi Muhammad memerintah negara suatu ketika dulu baginda juga melakukan baiah.

Amalan itu katanya diikuti pemerintah Islam dan "parti Islam" yang menyambung perjuangan berkenaan.

"Setiap calon (pilihan raya) PAS diwajibkan baiah yang menjadi sebahagian daripada rukun politik Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut anggota parlimen Marang itu baiah diperlukan supaya seseorang pemimpin melaksanakan konsep adil kepada masyakat majmuk, agama dan kerajaan.

Taat mutlak kepada Allah, nabi

Baiah ialah amalan yang disyaratkan PAS kepada seseorang anggotanya yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Ia mula dilaksanakan selepas berlaku beberapa kejadian wakil rakyat mereka menyertai parti lain.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata baiah standard dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama tetapi badan berkenaan tidak menghalang mana-mana negeri mengubah suai lafaznya.

Ia pernah menjadi polemik apabila ada negeri yang memasukkan lafaz cerai bertalak tiga kepada calon mereka.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ini PAS sekali lagi menegaskan akan terus beramal dengan baiah bagi memastikan calonnya kekal istaqamah bersama parti berkenaan.


Baca Muslimat PAS tiada masalah dengan baiah talak 3


Abdul Hadi berkata politik yang dibawa Rasulullah menunjukkan kesungguhan melaksanakan perintah Allah. Kemudian katanya ulama dan ilmuan Islam yang beramanah mewarisi pelaksanaan amalan itu daripada nabi.

Katanya baiah itu menekankan ketaatan dan walak mutlak kepada Allah dan rasul yang menjadi akidah perjuangannya, manakala ketaatan rakyat terhadap pemimpin adalah bersyarat iaitu tidak menderhakai perintah Allah dan rasul.

Abdul Hadi juga berkata negara dibebani dengan masalah apabila kerajaan meneruskan konsep diwarisi penjajah dan ia terbukti di semua negara yang pernah dijajah.

Justeru katanya PAS menawarkan idea Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) yang didakwanya berpandukan petunjuk daripada al-Quran.

Lihat Komen
ADS