Sertai AMANAH: Mahfuz sedia jadi ‘mamak roti’
Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mendedahkan keputusannya itu diibuat atas dorongan Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga pengerusi parti serpihan Umno itu.
"Kenapa saya tak sertai BERSATU, saya fikir saya menyertai AMANAH ini kerana apa yang telah dinyatakan Yang Berbahagia Ayahanda Tun Mahathir. Kenapa saya sebut ayahanda sebab Tun berkawan baik dengan ayah saya.
"Jadi apa yang disebut oleh ayahanda Tun Mahathir AMANAH adalah parti yang banyak bekorban di dalam HARAPAN bagi menjayakan pembahagian kerusi di peringkat Semenanjung.
"Itu ucapan Tun Mahathir dalam konvensyen, jadi adalah wajar untuk saya bersama dengan parti yang telah banyak bekorban bagi menjayakan perjuangan untuk rakyat demi masa depan Malaysia," kata Mahfuz yang tidak mempunyai parti selepas meninggalkan PAS tiga bulan lalu..
Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Mahfuz mungkin menyertai BERSATU menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang susulan beliau kerap dilihat bersama pemimpin parti itu.
Mengulas dakwaan beliau menyertai AMANAH kerana mahu terus bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena, Mahfuz menafikannya.
Sebaliknya, Mahfuz berkata beliau akan menjadi orang belakang tabir yang berkempen untuk mana-mana calon HARAPAN pada pilihan raya umum ke 14 akan datang.
"Kemasukan saya dalam mana-mana parti bukan untuk jadi calon sebab parti sudah tentukan calon masing-masing.
"Saya sekadar nak jadi petugas bagi menangkan calon dari mana-mana parti untuk menang.
“Saya sedia jadi mamak roti yang nak balik India, yang akan akan bawa pengganti dia pusing satu kampung dan lorong untuk pastikan pelanggan sedia ada datang membeli roti yang dijual," katanya.
Sebelum ini, semasa agihan kerusi parlimen HARAPAN, kerusi Pokok Sena yang disandang Mahfuz selama tiga penggal telah diberikan kepada AMANAH.
Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang hadir pada sidang media yang sama berkata mereka akan membincangkan kedudukan Mahfuz dalam parti serta calon bagi kerusi Parlimen atau DUN minggu hadapan.
"Di peringkat parti memang kita tak menetapkan satu polisi untuk pelawa semua orang dan kita akan beri kerusi.
“Masing-masing ada integriti dan maruah kenapa mereka mahu bersama parti pilihan mereka tetapi sekarang Mahfuz dah isi borang dan kita akan fikirkan jawatan beliau dalam parti serta akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.
“Parti juga akan bincangkan kemungkinan beliau dipelawa untuk bertanding dalam mana-mana kawasan parlimen atau DUN di negara kita," katanya.
Selain Mahfuz, turut mengambil tindakan sama ialah isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar dan anak mereka, Siti Nur Syahidah dan Siti Nur Syahirah.

