Terjemahan Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini bahawa persidangan damai yang dirancang diadakan pada akhir tahun ini, boleh mendorong para pengundi Amerika Syarikat supaya menolak 'pembohong' seperti Presiden George W Bush.

Menurut Dr Mahathir, forum tersebut diharapkan akan mendorong badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya melobi menolak Bush yang bertanggungjawab mencetuskan perang Iraq.

"Orang seperti Bush tidak sepatutnya dipilih dan mereka tidak akan terpilih sekiranya rakyat Amerika dirangsang, misalnya, oleh NGO, supaya mereka tidak mengundi orang yang suka berperang.

"Kita ingin melihat, akhirnya negara-negara yang demokratik memilih hanya mereka yang cintakan keamanan dan menentang peperangan," katanya.

Forum Keamanan Global Perdana itu, yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Disember ini, akan turut dihadiri para pengkritik kuat perang Iraq seperti ahli Parlimen British Clare Short dan George Galloway serta bekas Perdana Menteri Australia Bob Hawke.

Mahathir berkata, forum tersebut yang akan membincangkan mengenai peperangan, isu keganasan dan ketegangan agama tidak setakat retorik sahaja, tetapi akan membantu para aktivis 'melancarkan gerakan anti-perang dan berjuang untuk keamanan'.

"Itulah perkara-perkara yang mahu kita lakukan di forum keamanan global tersebut. Ia bukan setakat forum tempat mereka meluahkan apa yang terbuku di hati, dan menyumpah orang yang mereka tidak suka, dan kemudiannya pulang dengan perasaan lega.

"Diharapkan ia akan satu pemulaan kepada kempen peringkat dunia," katanya.

Perintah Tuhan?

Dr Mahathir, yang merupakan pengkritik kuat negara-negara Barat serta perang Iraq, turut mengecam Bush berhubung laporan yang Presiden Amerika itu menyerang Iraq atas perintah Tuhan.

Jika orang ramai dapat dipengaruhi supaya menentang peperangan, maka "saya pasti dalam keadaan sedemikian, mereka tidak akan memilih orang seperti Bush, yang merasakan Tuhan telah mengarahnya menyerang Iraq. Saya tidak tahu apa lagi Tuhan memberitahunya," kata Dr Mahathir.

"Negara kita juga mungkin menjadi salah sebuah yang diserang jika Tuhan membisik ke telinganya, "Bush, serang Malaysia," tambahnya.

Dr Mahathir juga melabel Bush dan dua sekutu Amerika Perdana Menteri Australia John Howard dan Perdana Menteri British, Tony Blair sebagai "pembohong besar" kerana mendakwa Iraq memiliki senjata pemusnah dan kecewa kerana mereka dipilih semula.

"Ketiga-tiga pembohong ini telah dipilih semula Howard di Australia dan Blair di Britan. Pembohong besar,' katanya kepada pemberita.

"Kesudahannya, mereka tidak menemui pun sebarang senjata pemusnah. Tetapi mereka masih dipilih semula. Jadi, kita mendapati sistem demokratik juga terdedah kepada manipulasi oleh kuasa-kuasa tertentu," kata Dr Mahathir.

Forum tersebut dianjurkan oleh Yayasah Kepimpinan Perdana, sebuah badan pemikir yang diketuai oleh Dr Mahathir sendiri./ Berita asal

- AFP