Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak percaya tindakan tegas terhadap Tan Sri Isa Abdul Samad kerana terbabit dalam politik wang, menghantar mesej jelas kepada ahli parti supaya menjauhi segala perkara yang melanggar tataetika Umno.

Katanya, semua ahli parti perlu mengambil serius tindakan yang diambil terhadap naib presiden parti itu yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Isa terpaksa melepaskan jawatan menteri kabinet selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno Jumaat lalu mengekalkan hukuman penggantungan keahliannya walaupun tempohnya dikurangkan dari enam kepada tiga tahun, berkuatkuasa 24 Jun lalu.

"Jika mereka tak mengambil kira lagi, saya tak tahu apa lagi nak dibuat. Ini adalah tindakan serius," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya hari ini.

Isa, 56, digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.

Beliau melakukan kesalahan itu ketika bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti September tahun lalu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Umno pada 6 Julai lalu.

Isa elak laluan biasa

Menurut laporan Bernama , ketika ditanya sama ada dengan tindakan yang diambil itu pemilihan akan datang akan menjadi lebih bersih, Najib berkata : "Itulah harapan dan iltizam kami. Saya percaya mesejnya dah jelas."

Katanya, parti itu akan melihat semula segala aspek berkaitan sistem pemilihan, kaedah, etika dan sebagainya.

Sementara itu, cubaan media hari ini untuk berjumpa dengan Isa di pejabatnya di Menara PjH di sini tidak berhasil.

Beliau menghampakan wartawan dan jurugambar yang menunggu di lobi bangunan sejak awal lagi dengan meninggalkan bangunan itu tanpa menggunakan laluan biasa.