Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan sama ada ahli parti itu sedia menerima keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menentukan siapa ahli MCA yang layak menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Lim mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong, yang menggesa ahli parti untuk melihat "gambaran lebih besar" berikutan bantahan di peringkat akar umbi berhubung usaha meletakkan setiausaha politik perdana menteri, Datuk Wong Nai Chee di Alor Gajah.

"Wee harus menguraikan apa itu 'gambaran lebih besar', sama ada ahli MCA bersetuju bahawa presiden Umno boleh mengatasi presiden MCA dalam menamakan calon untuk pilihan raya umum ke-14," soal Lim dalam satu kenyataan akhbar.

Lim berkata jika ini berlaku, ia akan menjadi satu lagi detik bersejarah dalam kebergantungan MCA terhadap Umno.

"Kepimpinan MCA sekarang akan mencipta sejarah (lagi) - setelah mencipta sejarah di mana tiga pemimpin tertinggi MCA, presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Wee, dan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan tidak berani bertanding di kerusi majoriti pengundi Cina.

“Mereka terpaksa bergantung kepada undi Melayu / Umno untuk menang kerusi parlimen dan dilantik menganggotai kabinet," katanya.

Terdahulu hari ini, Wee berkata peruntukan kerusi pilihan raya adalah urusan antara Liow dan Najib.

"Saya harap akar umbi MCA akan melihat gambaran lebih besar. Kita sedang menghadapi pilihan raya umum. Mereka boleh meluahkan pandangan melalui saluran dalaman," katanya yang dipetik oleh stesen 8TV.

Semalam, Oriental Daily memetik Liow sebagai memberitahu pemberita bahawa ahli parlimen Alor Gajah, Koh Nai Kwong akan dipindahkan ke kerusi DUN Machap yang dimenangi tipis oleh MCA pada pilihan raya 2013.

Koh (foto, bawah) diminta mengosongkan kerusi beliau itu untuk setiausaha politik Najib, Wong Nai Chee, yang juga adalah ahli jawatankuasa pusat MCA yang dilantik.

Alor Gajah dianggap sebagai kerusi paling selamat buat MCA, kerana parti itu memperolehi majoriti terbesar di antara tujuh kerusi parlimen yang dimenangi mereka pada 2013.

Berita mengenai Koh diminta memberi laluan kepada Wong mencetuskan bantahan penyokong BN di peringkat akar umbi.

Susulan itu, MCA bahagian Alor Gajah membatalkan acara parti itu Jumaat ini dengan setiausaha bahagiannya, Chew Choong Lin menyelar keputusan Liow.

Satu perhimpunan juga akan diadakan di Alor Gajah petang ini sebagai meluahkan sokongan kepada Koh.

Koh memenangi kerusi Alor Gajah dengan 32,594 undi. Beliau mengalahkan calon DAP, Damian Yeo Shen Li dengan majoriti 11,597 undi.

DAP telah bertanding dan kalah di Alor Gajah sepanjang tiga pilihan raya umum lalu. Kali ini, mereka dilaporkan akan menyerahkan kerusi itu kepada sekutu Pakatan Harapan, BERSATU pada pilihan raya umum ke-14.

[Baca berita penuh]