Mahkamah arah tangguh roboh pasar Pasir Puteh
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengarahkan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) agar menangguhkan kerja merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh.
Menurut laporan Berita Harian hari ini, ia bagi menunggu perbicaraan di peringkat Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang dijadual 22 Mac ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi oleh plaintif, iaitu Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh (PEMBEKAL).
"Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif kerana mendapati keputusan yang sebenar akan dibuat oleh Mahkamah Rayuan nanti.

"Saya juga berharap dalam tempoh itu (tujuh hari) kedua-dua pihak dapatlah mencari satu penyelesaian atau rundingan yang tepat bagi menyelesaikan isu itu," katanya seperti dipetik.
Pada 12 Mac lalu, lebih 300 peniaga menghalang kakitangan MDPP yang datang bersama jentolak untuk merobohkan pasar itu sehingga mencetuskan kekecohan.
Peniaga mendakwa MDPP tidak boleh berbuat demikian tanpa arahan mahkamah manakala Yang Dipertuanya Mohd Anis Hussein berkata kes tersebut tiada kaitan dengan kerja perobohan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut berkata kerajaan negeri berhak berbuat demikian selepas setahun meminta peniaga berpindah ke lokasi baru iaitu Pasar Siti Hajar.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan keengganan peniaga untuk berpindah atas sebab ruang jualan yang kecil dan lokasi yang tidak strategik.

