Terjemahan Menteri yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik, sepatutnya meletakkan jawatan sebelum diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berbuat demikian.

Tiong King Sing (BN-Bintulu) memberitah Dewan Rakyat dalam nada penuh sindirin, ketika merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz yang beliau akan meletak jawatan berhubung isu AP, hanya jika diarahkan oleh Perdana Menteri berbuat demikian.

"Jangan contohi Rafidah yang berkata beliau hanya akan meletakkan jawatan atas arahan Perdana Menteri. Apabila masa itu tiba, bukan beliau sahaja yang akan malu, tetapi semua ahli Parlimen akan turut malu juga.

"Jika menteri tidak mampu, beri peluang kepada orang lain, seperti (Ahli Parlimen) Sri Gading (Mohamed Aziz) dan Kinabatangan (Bung Moktar Radin)," Tiong ketika membahaskan bajet 2006.

Mohamed dan Bung Mokhtar menjadi tumpuan minggu lalu apabila mereka menyokong usul pihak pembangkang supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap Rafidah berhubung isu AP.

Mahu jawapan lengkap

Tiong juga meminta para menteri memberi jawapan yang lengkap terhadap soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen kerana mereka mewakili hasrat rakyat.

Beliau menyarankan agar kerajaan memberi kuasa penuh kepada seseorang menteri untuk membuat keputusan supaya mereka dapat memberi jawapan lengkap terhadap soalan yang dikemukakan.

Rafidah menjadi sasaran sejak empat bulan lalu berikutan dakwaan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa AP dikeluarkan oleh kementeriannya hanya kepada beberapa individu sahaja, di samping menjejaskan prestasi kereta nasional, Proton.

Beberapa pihak telah mendesak Rafidah supaya meletakkan jawatan berhubung isu tersebut, terutama Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor).

Dalam satu wawancara media minggu lalu, Rafidah berkata, beliau akan hanya meletakkan jawatan jika diarah oleh Perdana Menteri berbuat demikian.

Rafidah berkata, beliau tidak peduli apa kata Kit Siang kerana dia bukanlah perdana menteri./ Berita asal