KL jadi tuan rumah mesyuarat suruhanjaya bersama Msia-Iraq
Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iraq kelapan di sini selama tiga hari mulai esok.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iraq kelapan di sini selama tiga hari mulai esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata, delegasi Malaysia ke mesyuarat itu akan diketuai Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (foto), manakala delegasi Iraq diketuai Menteri Industri dan Galian Abdul Aziz Al-Najafi.
"Mesyuarat Suruhanjaya Bersama kelapan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala, termasuk perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, kewangan dan perbankan, pembinaan, industri dan komoditi, telekomunikasi dan usaha membangunkan semula Iraq," kata kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, mesyuarat itu juga dijangka menggiatkan semula hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia-Iraq dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut laporan Bernama, mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iraq sebelum ini diadakan pada Januari 2003.
Kenyataan itu berkata, mesyuarat kali ini akan didahului dengan mesyuarat peringkat menteri kanan selama dua hari mulai Rabu dan diikuti dengan mesyuarat peringkat menteri pada Jumaat.
Di akhir mesyuarat berkenaan, pemimpin kedua-dua negara akan menandatangani minit yang dipersetujui, menurut kenyataan itu.

