Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Umno Kelantan hanya mempertaruhkan satu kerusi untuk calon dari luar.

Menurutnya, kerusi itu melibatkan parlimen Pasir Puteh.

"Insya-Allah tidak ada calon luar kecuali di Pasir Puteh, kita cerita di Kelantan," katanya ketika ditanya kemungkinan amalan cah keting (sabotaj) berlaku dalam Umno berikutan calon dari luar dipertaruhkan untuk sesebuah kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pasir Puteh, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Bagi Parlimen Pasir Puteh, BN disebut-sebut bakal mempertaruhkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kini sering turun padang di kawasan itu.

Terus erat hubungan

Asyraf Wajdi masih dilihat bukan orang tempatan walaupun pernah bertanding di kawasan Tumpat pada PRU ke-12 kira-kira sembilan tahun lalu.

Beliau adalah anak kepada salah seorang pemimpin Umno Kelantan suatu ketika dulu, Datuk Dusuki Ahmad.

Terdahulu dalam program di Bachok, Ahmad Zahid turut mengingatkan Umno bahagian itu supaya menyelesaikan masalah dalaman kerana ia menjadi punca kekalahan BN pada beberapa PRU lalu, termasuk dengan majoriti tipis.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi semasa isu cah keting di Kelantan, Ahmad Zahid berkata, ia sudah tidak banyak wujud berbanding PRU sebelum ini.

"Sebab saya lakukan engagement bukan saja dengan Tok Pa (Mustapa) kerana kebetulan ketua-ketua bahagian adalah rakan-rakan peribadi saya ketika mereka belum lagi jadi ketua bahagian dahulu.

"Apatah lagi setelah mereka jadi ketua bahagian, saya terus mempereratkan hubungan.

"Saya bukan bagi arahan untuk memberitahu mereka supaya cah keting ini tidak berlaku, tetapi dengan ikhlas mereka memberitahun bahawa kali ini dan pada waktu yang akan datang kita akan pastikan bahawa soal titik bengik tidak lagi dilayani walaupun ada di bawah, kiri dan kanan masih ada ngiangan di telinga," katanya.


Baca Tuan Ibrahim sedia bertanding di Kelantan


Tambah anggota parlimen Bagan Datuk itu, beliau yakin perkara berkenaan telah dapat diselesaikan dengan pemantauan yang dilakukan oleh Mustapa sendiri.

"Saya berada di Kelantan beberapa kali sebelum hari penamaan calon dan selepas penamaan calon saya akan datang beberapa kali lagi kerana saya akan meletakkan seluruh daya usaha saya, selain membantu kawasan-kawasan parlimen dan dewan undangan negeri.

"Tumpuan saya ialah untuk membantu Tok Pa dan kepimpinan BN Kelantan.

"Kita bukan berhajat untuk mendahului hukum Allah, tetapi kita akan berusaha keras dan penuh kebijaksanaan untuk membantu rakyat Kelantan bagi menterjemahkan angin perubahan yang telah menerobos masuk ke negeri ini kerana mereka telah menanti begitu panjang.

"Penantian adalah suatu penyeksaan dan dengan adanya komitmen yang diberikan Datuk Seri Najib (Razak) selaku perdana menteri dan pengerusi BN, saya membantu beliau untuk memperincikan semua kaedah-kaedah untuk pemimpin turun ke padang," katanya.

Lihat Komen
ADS