Imigresen Russia hantar pulang pelajar tajaan Mara
Pelajar tajaan Mara, Firdaus Muhammed Nordin yang mengikuti pengajian tahun kedua perubatan di Universiti Nizhny Novgorod, Moscow, ditahan dan dihantar pulang oleh Imigresen negara itu 2 September lalu kerana nama bapanya bermula dengan "Muhammed".
Pelajar tajaan Mara, Firdaus Muhammed Nordin yang mengikuti pengajian tahun kedua perubatan di Universiti Nizhny Novgorod, Moscow, ditahan dan dihantar pulang oleh Imigresen negara itu 2 September lalu kerana nama bapanya bermula dengan "Muhammed".
Bapa Firdaus, Muhammed Nordin Mohamed, 55, berkata Firdaus pergi ke Moscow untuk mengikuti pengajian tahun kedua selepas pulang bercuti ke kampung.
"Ketika di Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow anak saya ditahan manakala rakan-rakannya yang lain dibenarkan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan mereka," katanya kepada Bernama di Kota Bharu.
"Saya dimaklumkan oleh Firdaus, mereka menahannya kerana nama saya yang bermula dengan Muhammed itu dianggap orang Arab yang dikaitkan dengan pengganas," katanya.
Beliau mendakwa anaknya ditahan selama 10 jam tanpa diberi makan dan minum serta tidak dibenarkan menghubungi sesiapa, sebelum dihantar pulang.
"Selepas 10 jam ditahan di Imigresen, anak saya dihantar pulang ke Malaysia dengan pesawat Qatar Airways dan tiba kira-kira jam 1 tengah hari, 4 September," katanya.
Muhammed Nordin berkata, anaknya memiliki dokumen perjalanan yang sah, lengkap dengan visa dan surat pengesahan dari Kementerian Pelajaran sebagai pelajar tajaan Mara.
Kali kedua ditahan
Segala dokumen itu dirampas oleh pihak Imigresen Rusia dan visanya dibatalkan sebelum dihantar pulang keesokannya, katanya.
Muhammed Nordin mendakwa, seorang rakan Firdaus, Azri Azmi, telah menghubungi kedutaan Malaysia di Moscow bagi memaklumkan penahanan Firdaus dan meminta mereka menjadi penjamin membebaskannya.
Bagaimanapun wakil kedutaan tidak datang sehinggalah Firdaus dihantar pulang oleh Imigresen Rusia, katanya.
Beliau berkata, ini kali kedua anaknya ditahan di Lapangan Terbang Domodedovo atas sebab yang sama kali pertama ketika baru masuk ke negara itu pada 2004.
Muhammed Nordin kesal kerana pihak kedutaan Malaysia di Moscow dikatakannya lambat bertindak sehingga anaknya terpaksa dihantar pulang sedangkan mereka hanya perlu berada di lapangan terbang untuk memberi jaminan bahawa Firdaus adalah warga Malaysia sebelum dibenarkan masuk.
"Anak saya ketinggalan pengajian selama seminggu manakala saya terpaksa membelanjakan wang lebih RM5,000 untuk menghantarnya semula ke sana," katanya. (Firdaus dibenarkan masuk kerana ada pegawai kedutaan menunggunya di lapangan terbang).
Muhammed Nordin berkata, beliau telah memaklumkan kepada Wisma Putra di Kuala Lumpur dan pihak Mara mengenai kesulitan dan kerugian yang beliau tanggung.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.