Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GLOBAL |  Xi Jinping dipilih semula secara sebulat suara sebagai presiden China bagi penggal kedua pada sidang pleno kelima Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-13 hari ini.

Dengan memperoleh 2,970 undi, tanpa sebarang undi menentang dan tiada anggota perwakilan yang menarik diri daripada mengundi, Xi juga dipilih secara sebulat suara untuk menyandang jawatan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (CMC) oleh badan perundangan tertinggi China itu.

Pada 2013, Xi mendapat 2,952 undi, dengan satu undi menentang dan tiga anggota perwakilan tidak mengundi.

Pada majlis mengangkat sumpah selepas keputusan pemilihan itu diumumkan di Dewan Besar Rakyat di Beijing, China, Xi berikrar untuk berpegang teguh pada Perlembagaan Rakyat, mempertahankan pihak berkuasa serta menunaikan tugas dan tanggungjawab.

“Sentiasalah bersikap setia kepada negara dan rakyat, komited dan jujur dalam menjalankan tugas serta terimalah wawasan rakyat dan berusaha dengan tekun untuk membantu membina sebuah negara sosialis moden yang hebat, yang sentiasa makmur, kukuh, demokratik, maju dari segi budaya, harmoni dan indah,” katanya.

Mansuh had presiden dua penggal

Pada 11 Mac, Parlimen China meminda perlembagaan bagi memansuhkan had menyandang jawatan presiden selama dua penggal.

Pada Oktober tahun lepas, Xi dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) pada sidang pleno Kongres Kebangsaan Ke-19 parti itu.

Sementara itu, Wang Qishan pula dipilih sebagai naib presiden baharu China, setelah memperoleh 2,969 undi, dengan satu undi menentang.

Sebelum ini, beliau menjadi anggota Jawatankuasa Tetap, Biro Politik Jawatankuasa Pusat CPC dan setiausaha Suruhanjaya Pusat CPC bagi Pemantauan Disiplin- badan pemantau disiplin berkaitan rasuah tertinggi di China.

Mesyuarat itu juga menyaksikan Li Zhanshu dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap NPC ke-13.


-Bernama

Lihat Komen
ADS