Penduduk setinggan Kampung Berembang, Jalan Ampang setuju berpindah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kampung itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azman Wahid.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan membabitkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ahmad Shafie Saidin dan penduduk semalam.

"Penduduk setuju untuk menerima syarat yang dikenakan ke atas mereka. MPAJ pula akan membayar RM1,200 kepada setiap keluarga sebagai bayaran pemindahan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, beliau akan mencadangkan supaya penduduk terbabit ditempatkan di penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang kerana masih rumah kosong di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, penduduk terbabit diberi jaminan akan dapat membeli flat kos rendah dengan harga RM35,000 seunit apabila pembinaannya siap sepenuhnya dua tahun lagi.

Beliau berkata, MPAJ enggan membenarkan Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas) mewakili penduduk setinggan Kampung Berembang kerana majlis itu tidak mengiktiraf Permas sebagai wakil penduduk.

Wakil MCA

Katanya, Permas tidak perlu terbabit dengan isu tersebut kerana penduduk sendiri tidak melantik Permas sebagai wakil mereka dalam perbincangan tersebut.

"Tempat Permas dalam rundingan itu diambilalih oleh pemimpin MCA Bahagian Ampang," kata Azman ketika dihubungi hari ini.

"Pada mulanya 10 keluarga terbabit enggan berpindah kerana mempunyai urusan perniagaan di kampung itu tetapi bersetuju kemudiannya setelah diberitahu tanah tersebut adalah milik anak syarikat kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Beliau mendakwa, MPAJ tidak pernah menjanji untuk memberi RM400 sebulan sebagai bayaran sewa rumah kepada penduduk terbabit, sepertimana yang dibangkitkan dalam pertemuan semalam.

Sebaliknya, kata Azman, jumlah RM400 itu timbul ketika MPAJ membuat bancian di kalangan penduduk mengenai bayaran kadar bayaran sewa rumah kepada mereka apabila berpindah kelak.

Dalam bancian tersebu, katanya, penduduk menuntut dibayar kadar sewa RM400 sebulan jika mereka terpaksa berpindah ke kawasan di luar Projek Perumahan Rakyat (PPR), tetapi jika berpindah ke PPR, kadarnya adalah RM124 sebulan.

Azman juga berkata, tanah Kampung Berembang adalah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan anak syarikat kerajaan Negeri Selangor, PNSB.

Katanya, ada 350 keluarga setinggan di kampung itu dan sebahagiannya telah berpindah ke Puchong dan Jinjang dan bakinya akan dipindahkan sebelum akhir tahun ini.

Sebelum ini, Presiden Permas, Tan Jo Hann mendakwa Ahmad Shafie enggan menemui penduduk setinggan Kampung Berembang untuk membincangkan soal sewa rumah yang akan diperolehi jika mereka keluar dari kampung itu..

Kataanya, Permas sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), membantu penduduk setinggan terbabit dalam menangani kes tersebut.

Penduduk setinggan berkenaan akhirnya mengadakan perbincangan dengan Ahmad selepas ketibaan beberapa pemimpin MCA tiba untuk mewakili mereka.