Laporan: Veteran Umno kata sokong Jho Low itu khianat
Menyokong ahli perniagaan terkait 1MDB Jho Low bersamaan dengan mengkhianati negara dan Umno, kata seorang pemimpin veteran parti itu dalam laporan Sinar Harian.
Setiausaha Kelab Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata pemimpin parti yang waras sebaliknya mahu tindakan diambil ke atas Low yang menurut beliau bertanggungjawab dalam skandal 1MDB.
"Pemimpin Umno yang waras tidak mungkin akan menyokong Jho Low, apa lagi menyayangi penyangak itu.
“Malah mereka mahu melihat Jho Low diambil tindakan sekiranya benar penglibatan beliau mencuri duit 1MDB mengikut undang-undang negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, pemimpin Umno Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz telah bersuara menentang Jho Low.

Kedua-dua pemimpin ini juga mengkritik Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengulas laporan rampasan kapal mewah terkait 1MDB dan Low oleh pihak berkuasa Indonesia sebagai berita palsu.
Kenyataan itu merujuk kepada kapal persiaran Equanimity yang didakwa dibeli Low menggunakan dana AS$250 juta yang dilesapkan daripada 1MDB.
Skandal 1MDB disiasat di beberapa negara dan disifatkan peguam negara Amerika Syarikat Jeff Sessions sebagai 'kes kleptokrasi paling teruk'.
Pihak berkuasa AS percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana 1MDB diselewengkan dan didakwa digubah secara haram melalui sistem kewangan di AS dan di negara lain.
Jabatan Keadilan AS (DOJ) sedang berusaha merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri.
1MDB telah menafikan sebarang penyelewengan berkaitan dananya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.