Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan pro-PAS dakwa Malaysiakini 'jahat'
Diterbitkan:  Mar 18, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Sebuah kumpulan penyokong PAS mendakwa Malaysiakini sebagai sebuah portal berita yang sentiasa mengutamakan laporan berbentuk antiislam.

Menurut Profesional Istiqamah Malaysiakini juga mengamalkan corak pemberitaan "jahat" serta cenderung kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Seperti biasa pemberitaan berniat jahat oleh Malaysiakini - media pro-PH (HARAPAN) yang kaki spin dan sentiasa mengangkat berita yang antiagenda Islam," kata kumpulan itu hari ini.

Profesional Istiqamah juga menyatakan, ungkapan "pakatan" memang wujud sebagai sebahagian daripada teks qunut nazilah.

“Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, pecahkan pakatan mereka - ini sebahagian daripada teks doa qunut nazilah.

"Pakatan bukan semestinya merujuk Pakatan Harapan!" kata kumpulan berkenaan.

Profesional Istiqamah digambarkan sebagai sebuah perkumpulan graduan muda dengan latar belakang pendidikan profesional dari pelbagai universiti di United Kingdom dan Ireland.

Kumpulan itu memulakan inisiatif untuk mengadakan kempen bagi menyatakan kebersamaan mereka bersama PAS.

Pelanggar baiah turut didoakan

Profesional Istiqamah membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada laporan disiarkan Malaysiakini mengenai program solat hajat, munajat dan ceramah perdana anjuran PAS di Seksyen 17 Shah Alam.

Ia diadakan sempena memperingati penyertaan PAS dalam kerajaan Selangor selama 10 tahun.

Untuk rekod PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) turut menyambut ulang tahun sama tetapi diadakan di Stadium Melawati di Seksyen 13.

PAS sudah memutuskan kerjasama politik mereka dengan semua parti terbabit namun berada dalam kerajaan dan mengekalkan anggota mereka sebagai exco negeri.

Program munajat dan solat hajat itu menjadi perhatian ramai apabila salah seorang anggota Jawatankuasa PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani membacakan doa supaya Allah "menghancurkan pakatan jahat".

Ahmad Dusuki yang terkenal sebagai penceramah termasuk di radio kerajaan juga mendoakan balasan kepada pemungkir baiah - merujuk kepada beberapa wakil rakyat PAS yang meninggalkan parti itu.

Ahmad Dusuki juga pernah memberikan maklumat salah mengenai keadaan banjir di Kelantan selepas Pulau Pinang dilanda hujan lebat serta angin kencang pada Nov 2017 dalam salah satu ceramahnya.

Bagaimanapun pengendali akaun Facebook Ahmad Dusuki membuat pembetulan beberapa ketika selepas beliau dikritik orang ramai.

Dalam kenyataan mengecam Malaysiakini itu juga Profesional Istiqamah menyertakan teks doa qunut serta terjemahannya, iaitu:

Ya Allah! Muliakan Islam dan seluruh Muslimin. Ya Allah! Hinakan syirik dan musyrikin. Ya Allah! Tolonglah saudara-saudara kami Muslimin dan mujahidin dan golongan-golongan lemah, di semua tempat dan di setiap masa.

Ya Allah! Binasakan musuh-musuh-Mu, musuh-musuh agama (Islam). Ya Allah! Hancurkan kekufuran, syirik dan munafik. Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan pada leher-leher musuh kami (kami serah kepada-Mu) dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya Allah! Cerai-beraikan himpunan kumpulan mereka, pisahkan kesatuan pakatan mereka, selerakkan kalimah-kalimah mereka, gegarkan ketetapan mereka, kalahkan mereka dengan anjing dari anjing-anjing-Mu.


Baca Rozaimi ajak jumpa Dusuki belum jawab


Wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Keras, Wahai Tuhan yang Maha Membalas, Wahai Allah, Wahai Allah, Wahai Allah Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab, yang menggerakkan awan, yang mengalahkan tentera Azhab, kalahkan mereka dan bantulah kami dengan memberi kemenangan untuk kami!

Ya Allah, Engkau berkuasa, kami lemah. Kami mengadu kelemahan kami. Ya Allah! Engkau Tuhan kami dan kami adalah hamba-hamba-Mu.

Ya Allah! Rezekikan kepada kami syahid di jalan-Mu. Ya Allah! Berikan kepada kami kebahagiaan di dalam kehidupan di dunia ini dan kebahagiaan juga di akhirat dan selamatkan kami daripada azab neraka.

Lihat Komen
ADS