Sekali lagi berlaku kejadian menyayat hati apabila seorang budak menemui ajal selepas tertinggal di dalam kereta.

Ia bukan kali pertama, namun memang diharapkan supaya menjadi kes yang terakhir.

Di sebalik peristiwa tragik itu, lambakan atau tekanan kerja dikatakan memainkan peranan sehingga seorang ibu atau bapa boleh tanpa sengaja terlupa kepada anak yang ditinggalkan di dalam kereta.

Berdasarkan kepada beberapa perkembangan semasa, Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata isu bebanan kerja melampau wajar diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan.

Antara bidang kerja utama yang berisiko membawa kemalangan akibat bebanan kerja berlebihan ialah sektor perubatan dan pengangkutan..

Kata Khairuddin bebanan seperti terpaksa bertugas melebihi lapan jam mesti diambil serius kerana ia turut melibatkan keselamatan orang lain.

Misalnya kata beliau pesakit yang menerima rawatan dan para penumpang.

Khairuddin diminta mengulas insiden malang pada 14 Mac lalu membabitkan seorang budak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta oleh ibunya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata kejadian itu berlaku di tempat letak kereta di sebuah kolej kemahiran.

Dalam kejadian 9 pagi itu, ibu mangsa yang juga tenaga pengajar di kolej berkenaan membawa bayinya bersama ke tempat kerja.

Terlalu banyak difikirkan

Memetik kenyataan Zainuddin Harian Metro melaporkan sebaik meletakkan kereta Proton Saga dipandunya, wanita itu terlupa bayi yang dibawa bersama dan tertinggal dalam kenderaan itu.

Rakan kepada ibu mangsa mendakwa kemalangan itu berlaku akibat tekanan lambakan kerja dan mereka turut menerima lawatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum kejadian.

Kata Khairuddin Aman Razali keletihan melampau boleh mengundang kealpaan walaupun pada asasnya kesibukan kerja tidak sekali-kali membenarkan seseorang memandang remeh aspek keselamatan.

“Makna bebanan kerja adalah subjekti, tetapi ia tidak patut menjadi alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan sesiapa.

“Keletihan melampau dan tanpa rehat pula akan mengundang kecuaian,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, melahirkan simpati ke atas kejadian yang berlaku.

Namun, tanpa merujuk kepada kes di Negeri Sembilan itu Fuziah berkata kecuaian juga boleh berlaku akibat gangguan masalah peribadi.

“Saya turut bersimpati atas kemalangan berkenaan. Tentu sekali si ibu tengah trauma yang amat sangat.

“Selalunya perkara terlupa itu berlaku apabila seseorang itu terlalu banyak perkara yang mahu difikirkan.

"Tekanan kerja memang boleh memberi gangguan terhadap keutamaan seseorang dan pada masa sama jika timbul masalah peribadi perhatian juga boleh terabai kerana ada banyak perkara yang perlu difikirkan serentak," katanya.

Kata Fuziah semua perkara itu berlaku disebabkan minda sedar digunakan sepenuhnya untuk memikirkan beberapa perkara pada masa yang sama.

Katanya, kemalangan yang berlaku baru-baru ini memang boleh terjadi apabila si ibu berdepan dengan terlalu banyak perkara harus difikirkan.

Oleh demikian kata Fuziah keseimbangan kehidupan seharian harus menjadi keutamaan kepada pekerja dan majikan.

“Kita mesti mencapai keseimbangan kehidupan kerja dan majikan juga bertanggungjawab untuk memastikan pekerja dapat mengimbangi kerja dan kehidupan seharian mereka,” tambahnya.