Musa: Kes Adun Padang Lalang masih disiasat
Terjemahan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan mengelak daripada terbabit dalam sebarang 'konfrontasi' dengan ahli-ahli politik apabila beliau enggan mengulas kritikan beberapa ahli Parlimen terhadap pasukan polis semalam.
"Apa yang diperkatakan semalam itu adalah isu di Parlimen. Saya tidak mahu mengulas mengenainya. Kita mempunyai prosidur untuk diikuti sewaktu polis mengadakan sekatan jalan," kata Musa (foto) etika diminta mengulas kenyataan seorang penyokong kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang semalam.
Tiong King Sing (BN- Bintulu), telah mengkritik sesetengah pegawai polis yang menurutnya 'tidak mengguna otak' ketika mengadakan sekatan jalanraya.
Apabila ditanya mengapa mereka tidak menggunakan otak, Tiong berkata: "Mereka ada otak, tetapi tidak tahu di mana mereka simpan".
Beliau juga mempersenda cara polis mengadakan sekatan jalanraya. Menurutnya, mereka bersembunyi di sebalik pokok dan tiba-tiba melompat keluar 'seperti hantu' apabila ada kenderaan yang datang.
Siasatan sedang dijalankan
Tiong merujuk kes yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Lalang, Tan Teik Cheng, yang dilaporkan telah menghalang polis mengadakan sekatan jalanraya di kawasan pilihanrayanya di Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, anggota polis di sekatan jalanraya itu telah memberhentikan seorang penunggang motosikal dan menyamannya kerana menunggang motosikal yang sudah diubahsuai.
Apabila Tan datang semula ke tempat itu bersama penunggang motosikal tersebut serta bapanya, Adun Padang Lalang itu dikatakan telah meminta anggota polis terbabit supaya menghentikan sekatan jalanraya itu kerana ia menimbulkan masalah.
Tan kemudiannya mendakwa yang anggota polis terbabit tidak memakai pakaian seragam serta 'bersembunyi' di sebalik pokok di satu selekoh di situ.
Musa berkata, siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada Tan boleh didakwa kerana menghalang tugas polis.
Pejabat Peguam Negara, katanya, akan menentukan sama ada mahu mendakwa adun berkenaan./ Berita asal

