Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan rangka tetapkan harga siling tiket penerbangan domestik
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 12:17 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

PARLIMEN l Kerajaan sedang merangka penetapan harga siling untuk mengawal harga tiket penerbangan domestik.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), cadangan penetapan harga itu dijangka diselesaikan sebelum pertengahan tahun ini.

"Kita akan buat penetapan harga siling untuk penerbangan domestik sahaja, bukan antarabangsa, setakat ini kita tidak mengawal keseluruhannya, tapi kali ini kerajaan akan kawal harga (tiket) domestik," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) mengenai peranan MAVCOM dalam mengawal harga tiket kapal terbang serta langkah kerajaan bagi mengatasi harga tiket mahal bagi penerbangan domestik, Kuala Lumpur-Sibu pada musim perayaan.

Ab Aziz berkata langkah itu diambil berikutan aduan harga tiket mahal terutama pada musim perayaan, selain kajian MAVCOM yang mendapati harga tiket meningkat lima kali ganda pada musim itu.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini, tidak menetapkan sebarang peraturan berhubung harga tambang penerbangan dan membenarkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menetapkan harga tambang berdasarkan keputusan komersil masing-masing.

Harga tambang yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan adalah mengikut permintaan pasaran, ekonomi serta faktor lain seperti kos bahan api dan kos operasi, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS