Raja Abdullah 11 Jordan akan berangkat Selasa ini untuk mengadakan lawatan ke Indonesia, Malaysia dan Pakistan, dengan tumpuan kepada usaha memerangi keganasan dan golongan ekstremis.

Sewaktu lawatan tersebut, baginda akan berbincang dengan pemimpin ketiga-tiga negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam itu, untuk "menyelaras usaha ke arah memperkembangkan Islam sebenar untuk berdepan dengan keganasan dan golongan ekstremis.

Menurut kenyataan istana Jordan, perbincangan itu nanti akan menumpukan kepada perkembangan politik dan isu-isu lain yang berdepan dengan masyarakat Arab dan Islam sedunia.

Semangat keislaman

Julai lalu, Jordan telah menganjurkan perjumpaan para pemimpin dan pakar Islam, yang berakhir dengan pengeluaran pernyataan yang mengharamkan pembunuhan atas nama Islam dan gesaan supaya menghormati pandangan orang lain.

Abdullah mengecam golongan ekstremis agama, yang menurutnya telah mencemarkan imej Islam, serta menggesa negara-negara Islam supaya memperkemaskan perundangan mereka.

"Perpecahan di kalangan masyarakat Islam global, perbuatan keganasan dan kafir mengkafir serta pembunuhan orang Islam atas nama Islam, adalah melanggar semangat keislaman," katanya.

- AFP