Kes denggi terus meningkat, 4 lagi kematian minggu ini
Kes denggi di negara ini meningkat lagi dengan tiga negeri menunjukkan jumlah melebihi 100 kes, kata Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Ramlee Rahmat.
Kes denggi di negara ini meningkat lagi dengan tiga negeri menunjukkan jumlah melebihi 100 kes, kata Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Ramlee Rahmat.
Katanya, sehingga semalam, kes denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 1,201 berbanding 1,023 kes minggu lalu.
Daripada jumlah itu, setakat ini, 30 peratus disahkan positif denggi, kata Dr Ramlee dalam sidang akhbar mingguan mengenai wabak denggi di kementerian itu hari ini.
Katanya, sehingga semalam, 76 kematian akibat demam denggi dicatatkan iaitu meningkat tiga kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut laporan Bernama , jumlah kematian akibat demam denggi pada minggu ini adalah empat orang berbanding dua orang minggu lalu, dan keempat-empat mangsa mati akibat demam denggi berdarah, katanya.
Dr Ramlee berkata, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih lagi negeri yang mencatat bilangan kes denggi yang tinggi iaitu melebihi 100 kes.
Sehingga semalam, Selangor mencatatkan 345 kes berbanding minggu lalu 198 kes, Pulau Pinang 246 kes (303 kes), Johor 134 kes (139) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 130 kes (130).
Sementara itu, 20 kawasan titik panas bermasalah denggi telah disenaraikan antaranya Majlis Perbandaran Kajang, Daerah Barat Daya dan Daerah Timur Laut di Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Johor Baharu, Setapak dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Katanya, hampir 2.4 juta premis telah dijalankan pemeriksaan aedes dan daripada bilangan itu hampir 25 ribu premis didapati positif eades dan sebanyak 13,605 kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis.

