Sebuah laman web yang mengulas isu-isu negara Asean menggesa rakyat Malaysia menerima pengaruh China yang semakin meluas di Malaysia yang menurut laman web itu akan memberi banyak manfaat.

Menurut ulasan editorial Asean Today, China telah membeli aset Malaysia susulan skandal 1MDB pada 2015.

"Najib dan negara yang dipimpinnya kekal berhutang dengan China. Malaysia mempuntai keupayaan terbatas untuk mendapatkan tawaran pelaburan daripada tempat lain," kata ulasan itu.

Ulasan itu juga menyatakan Najib tidak mempunyai banyak pilihan lain susulan skandal 1MDB, justeru menerima pelaburan dan pengaruh China merupakan kompromi yang perlu diberikan.

"Malaysia tidak boleh bergerak ke hadapan tanpa mendapatkan bantuan. Kegagalan projek pembangunan baru-baru ini (seperti Iskandar Malaysia, Cyberjaya dan bandar Malaysia) membuktikan perkara ini. Pengaruh China akan kekal di sini.

"Najib perlu lakukan yang terbaik bagi mendapatkan pulangan daripada pelaburan itu," kata artikel itu lagi.

Berdasarkan sejarah hubungan kedua-dua negara dan pendekatan Malaysia yang tidak begitu tegas berhubung pencerobohan China di Laut China Selatan, kata artikel itu, Malaysia dilihat tidak akan menjadi musuh negara itu.

Asean Today turut menyatakan bahawa tidak mengejutkan apabila beberapa tinjauan menunjukkan tiga per empat rakyat Malaysia mengalu-alukan pengaruh China.

"China boleh mempengaruhi Malaysia lebih berbanding negara lain tanpa perlu risau mendapat bantahan yang kuat," kata artikel itu.

Bagaimanapun, artikel itu menyebutkan, dari segi hubungan serantau, sikap mesra China akan menyebabkan rakan Asean yang lain kurang senang dan boleh mengancam perpaduan.

"Asean, sebagai sebuah kesatuan, tidak boleh membantah Beijing sekiranya terdapat rakan sekutu yang bergantung daripada pelaburan China," katanya.

Terlalu bergantung dengan China juga akan memberi masalah kepada ekonomi Malaysia kerana syarikat-syarikat China sering bergantung kepada tenaga kerja sendiri, yang menyebabkan syarikat tempatan tidak mampu bersaing.

"Malaysia perlu mendapatkan sesuatu sekiranya menerima pengaruh daripada China. Jika tidak, China akan bertukar daripada sebagai sebuah kuasa yang mempengaruh kepada kuasa yang mengawal Malaysia.

"Ia merupakan keseimbangan yang perlu dijaga. Sekiranya Malaysia mampu menguruskannya, pengaruh China boleh memberi manfaat yang besar," katanya.

[Baca berita penuh]