Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Jho Low, Riza Aziz tak isytihar pendapatan di Malaysia

PARLIMEN l Dua individu yang didakwa terpalit dengan skandal 1MDB Low Taek Jhow dan Riza Aziz tidak mengisytiharkan pendapatan mereka dalam negara ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menjawab soalan Lim Lip Eng (Segambut-DAP) di Dewan rakyat, Johari berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tiada rekod dua individu itu.

"Mengikut fail cukai, nama-nama ini (Jho Low dan Riza) tiada (dalam rekod) kerana mereka tidak isytihar pendapatan dalam negara.

"Jika mereka isytihar, kita akan kenakan cukai," katanya.

Lim bertanya sama ada pihak berkuasa seperti Bank Negara dan LHDN ada menjalankan siasatan terhadap sumber kewangan Jho Low dan Riza - anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak.

"Sama ada sah atau haram, ada bayar cukai atau tidak?" soal Lim.

Selepas mendengar jawapan Johari, Lim kemudian mempersoalkan sama ada "orang kaya" tidak perlu mengisytiharkan pendapatan dan tidak perlu membayar cukai walaupun mampu membeli barang mewah seperti kapal layar.

Tian Chua (Batu-PKR) pula mencelah dengan mempersoalkan sama ada wujud dwistandard dalam penguatkuasaan dan mendakwa banyak syarikat tempatan yang melabur di luar negara tetap perlu membayar cukai kepada negara.

Johari berkata LHDN bertindak adil dan akan memburu mana-mana pihak yang cuba mengelak daripada membayar cukai.

"Jika syarikat didaftar di Malaysia, ada aset dan pendapatan dalam negara, (LHDN) akan kejar mereka. Kalau bukan hari ini, esok, bukan tahun ini, tahun depan.

"Jika Yang Berhormat ada maklumat tentang syarikat yang untung dan ada aset dalam negara dan tidak bayar cukai, beritahu saya. Cukai LHDN tidak mengira siapa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS