NGO Centre to Corruption and Cronyism (C4) membangkitkan semula isu kapal selam Scorpene menjelang pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

Bagi mencapai tujuan itu, C4 menerbitkan kertas fakta bersaiz A3 untuk menjelaskan skandal tersebut.

Ia memasukkan penjelasan pihak yang terlibat dalam dakwaan rasuah ketika pembelian sua kapal selam Scorpene, begitu juga sebab-sebab pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan kehakiman terhadap kes itu serta jangka waktu prosiding mahkamah.

"Kami mahu bawa semula skandal ini untuk mengingatkan semua orang. Ia pernah jadi isu paling hangat dalam pilihan raya umum tetapi sekarang terdapat terlalu banyak skandal dan kita terlupa dengan isu ini.

"Ia (masih) belum selesai. Paling utama, belum ada lagi yang dibawa ke muka pengadilan. Kami sangat kesal kerana terpaksa berharap dengan tindakan pihak berkuasa asing untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa penyelewengan kuasa telah menjadi cukup berleluasa dan kenapa tindakan diambil di luar negara dan tidak di sini," kata Pengarah C4, Cynthia Gabriel.

Beliau bercakap kepada pemberita di bilik media Parlimen selepas mengadakan taklimat dengan anggota parlimen berkenaan isu tersebut. Beliau berkata beberapa anggota parlimen berjanji untuk membawa balik kertas fakta terbitan C4 ke kawasan parlimen untuk disebarkan.

Beliau berkata setakat ini, C4 mencetak 10,000 kertas fakta tersebut dan terdapat rancangan untuk mencetak lebih banyak lagi bagi tujuan sebaran kepada orang ramai.

Pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan kehakiman terhadap pembelian dua kapal selam bernilai €1 bilion yang dikomisyenkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Untuk rekod, Kementerian Pertahanan telah menafikan sebarang salah laku berhubung urus niaga Scorpene itu.

Bagaimanapun, kata Cythia prosiding di Perancis masih berjalan dan mungkin terdapat lebih banyak pendakwaan rasmi sebelum kes itu ditukar ke mahkamah yang lebih tinggi untuk perbicaraan penuh.

[Baca berita asal]