Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kes saman Nurul Izzah terhadap bekas IGP, menteri 9 April ini
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai niat jahat semasa membuat kenyataan berhubung gambar pertemuan antara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram tetapi hanya menjawab soalan daripada wartawan.

"Kenyataan itu dibuat pada sidang media dalam majlis yang berasingan, tetapi ia bukanlah majlis yang diadakan untuk membuat kenyataan berhubung gambar pertemuan antara plaintif (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram," kata Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub yang mewakili Ismail Sabri dan Khalid ketika berhujah dalam kes saman itu.

Beliau berkata kenyataan tersebut dibuat selepas isu mengenai gambar yang dimuat naik oleh Jacel Kiram itu telah menjadi perbualan umum, dan kedua-dua defendan iaitu Khalid dan Ismail Sabri membuat kenyataan berkenaan berdasarkan pendapat mereka.

Peguam R Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah yang merupakan anggota Parlimen Pantai pula berhujah pihak defendan gagal menunjukkan bukti bahawa pertemuan antara Nurul Izzah dengan Jacel Kiram adalah dirancang dan bukan secara kebetulan.

Sivarasa berkata Khalid tidak bercakap benar kerana kenyataan yang dibuat ketika sidang media tidak sama dengan keterangan yang diberikan di mahkamah ketika perbicaraan kes saman tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin menetapkan 9 April untuk keputusan bagi kes saman berkenaan.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan daripada tiga saksi plaintif iaitu Nurul Izzah, bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang dan dua saksi defendan iaitu Ismail Sabri dan Khalid.

Nurul Izzah memfailkan saman itu pada 26 Nov 2015 dengan mendakwa Khalid telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 Nov 2015, manakala Ismail Sabri pula didakwa telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada hari sama (22 Nov 2015) dalam satu majlis di Bera, Pahang.

Beliau menamakan Khalid sebagai defendan pertama manakala Ismail Sabri sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram, yang didakwa mengarahkan serangan dan pencerobohan Sabah pada 2013.

Nurul Izzah mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau ialah seorang pengkhianat kepada negara dan dalang insiden pencerobohan Sabah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS