Mahkamah tetapkan 13 Ogos untuk dengar cabaran buku G25
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Ogos untuk mendengar cabaran Kumpulan 25 (G25) terhadap larangan Kementerian Dalam Negeri ke atas buku mereka yang berjudul Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy.
Kata penghantar buku yang diterbitkan pada Disember 2015 itu ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan satu salinan diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada bulan yang sama.
Tarikh itu ditetapkan apabila ia dibawa untuk pengurusan kes kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman dan merit penuh cabaran akan didengar di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Mohd Said.
G25, yang menyokong kesederhanaan dalam pelaksanaan dasar kerajaan terdiri daripada sekumpulan bekas kakitangan awam dengan Datuk Latifah Osman Merican, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Datuk Noor Farida Mohd Ariffin, Profesor Dr Asma Abdullah dan Datuk Zainuddeen Abdul Bahari sebagai ahli jawatankuasa.
Mereka menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri sebagai responden dalam kes itu.
Buku itu diharamkan oleh Ahmad Zahid pada 14 Jun tahun lalu atas alasan ia boleh memudaratkan ketenteraman awam. Perintah itu diwartakan pada 27 Julai, 2017.
G25, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Oktober lalu untuk mendapatkan perintah mahkamah (certiorari) bagi membatalkan larangan buku berkenaan yang dibuat di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada G25 untuk memulakan cabaran berhubung pengharaman bukunya.
Buku itu memuatkan artikel daripada 22 orang, termasuk sarjana terkenal Dr Shad Saleem Faruqi dan Chandra Muzaffar, profesor undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom dan bekas pengarah eksekutif Sisters in Islam Ratna Osman.

