DJZ mahu sains, matematik diajar semula dalam bahasa ibunda
Dong Jiao Zong (DJZ), pergerakan pendidikan Cina hari ini menggesa kerajaan supaya kembali kepada dasar lama menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik di semua sekolah rendah.
Dong Jiao Zong (DJZ), pergerakan pendidikan Cina hari ini menggesa kerajaan supaya kembali kepada dasar lama menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik di semua sekolah rendah.
Dalam satu kenyataan semalam, DJZ berkata kerajaan patut menambah masa yang diperuntukkan bagi pelajaran Bahasa Inggeris tetapi membenarkan sekolah-sekolah rendah berkenaan termasuk sekolah kebangsaan menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar kedua-dua subjek itu.
Permintaan supaya kerajaan kembali kepada dasar lama menggunakan bahasa ibunda bagi pengajaran Sains dan Matematik, dibangkitkan pergerakan itu sewaktu perbincangan dengan MCA semalama dan Gerakan Jumaat lalu.
MCA dan Gerakan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan DJZ dalam usaha mencari kata sepakat mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bagi darjah empat di sekolah rendah Cina.
Dasar menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik telah dilaksanakan di semua sekolah termasuk sekolah-sekolah rendah China bagi darjah satu, dua dan tiga pada 1 Jan 2003 dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Formula 2-4-3
Pelaksanaannya di sekolah China adalah berdasarkan "formula 2-4-3" dua masa bagi Bahasa Inggeris, empat masa bagi Matematik dan tiga masa bagi Sains dalam seminggu bermula dengan pelajar darjah satu, dua dan tiga pada tahun 2003.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada keputusan bagi masa untuk kedua-dua subjek itu apabila para pelajar terbabit naik ke darjah empat tahun depan.
Menurut laporan Bernama , dalam kenyataan itu, DJZ juga menyeru kerajaan supaya memperbaiki cara pengajaran Bahasa Inggeris dan menyediakan latihan yang sesuai dan cukup kepada guru-guru Bahasa Inggeris.
Pergerakan itu juga menekankan bahawa kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Matematik dan Sains pada tahun 2008 perlu dalam bahasa Mandarin bagi sekolah-sekolah Cina.
Persekutuan Lembaga Persatuan Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang bergabung menjadi Dong Jiao Zong telah menentang pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Cina sebelum dasar itu diperkenalkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.