Dr M: Cambridge Analytica berurusan dengan Putrajaya
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini berkata beliau tidak ada pengetahuan mengenai aktiviti firma data Cambridge Analytica (CA) semasa pilihan raya ke 13 lalu.
"Tidak tahu. Ini kali pertama saya mendengar hal ini," kata Muhyiddin yang menjadi pengarah pilihan raya Barisan Nasional pada ketika itu.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) di parlimen hari ini.
"Apa yang beliau lakukan, beliau buat sendiri. Saya tidak tahu apa-apa," kata Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri merujuk Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan penglibatan CA di Kedah semasa PRU13.
"Tidak ada rekod kerajaan Kedah berbuat demikian.
"Kerajaan persekutuan yang berurusan dengan mereka, bukan Kedah," kata Mahathir.
CA pada laman webnya mendakwa firma itu menyokong kempen BN di Kedah dengan 'kempen pesanan menyasarkan kumpulan khusus' bagi menonjolkan pembaikan sekolah-sekolah di Kedah sejak 2008.

