Belum pun sempat menjadi kenyataan, Jabatan Parlimen yang dicadangkan penubuhannya tidak lama lagi, diturunkan tarafnya kepada sebuah pejabat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengumumkan penubuhan jabatan itu minggu lalu, berkata jabatan yang dimaksudkan itu hanyalah sebuah pejabat yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pentadbiran Parlimen.

"Apa yang saya cadangkan ialah penubuhan satu jawatan yang bertanggungjawab bagi menjaga pentadbiran Parlimen. Mungkin, oleh kerana saya kata akan ada jawatan ketua pengarah, media beranggapan ia sebuah jabatan.

"Apa yang saya maksudkan ialah "jabatan" dengan huruf kecil "j" (pejabat), bukan huruf besar "J" (jabatan penuh)," katanya dalam pertemuan meja bulat "Selamatkan Parlimen" anjuran Pembangkang semalam.

Nazri berkata, beliau bercadang menggantikan perkataan "ketua pengarah" untuk pejabat itu dengan perkataan "pengurus" atau "pentadbir" bagi mengelak timbulnya kekeliruan.

Ditanya kenapa perkara itu tidak dijelaskan lebih awal kepada media, Nazri berkata beliau tidak berkesempatan berbuat demikian.

Penubuhan Jabatan Parlimen ditentang hebat oleh Pembangkang hingga mendorong ketuanya, Lim Kit Siang, mengemukakan usul tergempar mengenainya di Parlimen hari ini. Usul itu bagaimanapun ditolak.

Lim seterusnya memanggil mesyuarat meja bulat dikenali sebagai "Selamatkan Parlimen" yang dihadiri ahli Parlimen pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendengar penjelasan Nazri mengenainya.

Urusan Parlimen

Menurut laporan Bernama, Nazri berkata, beliau sentiasa berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa yang tidak membenarkan eksekutif mencampuri urusan Parlimen.

Katanya, pejabat yang dimaksudkan akan bertindak sebagai badan pentadbir yang mengendalikan perkara di luar fungsi Parlimen seperti makanan di dewan makan anggota Parlimen, tandas, penyenggaraan bangunan Parlimen dan tuntutan ahli Parlimen.

Nazri berkata, adalah tidak wajar bagi setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengendalikan perkara tersebut kerana ia di luar bidang tugas mereka.

"Saya perlu wujudkan mekanisme bagi memastikan perkara ini dikendalikan," katanya.

Kini, urusan tersebut dikendalikan oleh Jawatankuasa Dewan yang dipengerusikan oleh Speaker.

Lim berkata, langkah menubuhkan pejabat atau Jabatan Parlimen patut ditolak kerana ia menghina doktrin pengasingan kuasa.

"Apa yang menjadi amalan ialah setiausaha Parlimen menjadi ketua pentadbir Parlimen.

"Kini, apa yang dilakukan ialah mengasingkan fungsi setiausaha itu antara dirinya dan apa yang dikenali sebagai pengurus. Ini bererti menjadikan setiausaha ini tidak lebih daripada kerani biasa," katanya.

Presiden Tenaganita Irene Fernandez yang menyertai mesyuarat berkenaan pula berkata kerajaan sepatutnya menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992, bagi mengatasi masalah itu.

Mengulas cadangan ini, Nazri berkata ahli Parlimen perlu membuat cadangan itu terlebih dahulu sebelum beliau boleh mencadangkan kepada kerajaan mengenai penggubalan rang undang-undang mengenainya.