Mahkamah tolak permohonan Majlis Peguam berhubung EGM
Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak dengan kos permohonan kebenaran yang difailkan oleh Majlis Peguam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalangnya daripada mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan mesyuarat agung bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan badan kehakiman.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak dengan kos permohonan kebenaran yang difailkan oleh Majlis Peguam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalangnya daripada mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan mesyuarat agung bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan badan kehakiman.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Hakim Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Alauddin Mohd Sherif dan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, semalam.
Pada 9 November 1999, peguam K. Raja Segaran telah memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa EGM yang akan diadakan oleh Majlis Peguam Malaysia dalam bulan November 1999 sebagai tidak sah.
Beliau menamakan Majlis Peguam dan 11 ahli jawatankuasa eksekutifnya sebagai defendan.
Mereka termasuklah presidennya Sulaiman Abdullah, Naib Presiden Roy Rajasingham, Setiausaha Kuthubul Zaman Bukhari, Bendahari Mohamed Apandi Ali, R.R. Chelvarajah, Cyrus V. Das, Raja Aziz Addruse, Hendon Mohamed, Mah Weng Kwai, Tommy Thomas dan Mohamed Sofian Abdul Razak.
Raja Segaran mendakwa resolusi yang dicadangkan sebagai mengecam kecekapan dan integriti badan kehakiman dan kebebasannya, dan keyakinan umum terhadap badan kehakiman telah terhakis.
Akta Hasutan
Menurut laporan Bernama, beliau juga mendakwa penerimaan resolusi yang dicadangkan itu ketika mesyuarat tersebut sebagai satu penghinaan mahkamah, satu penyalahgunaan kuasa dan melanggar Akta Hasutan 1948.
Pada 24 September 2004, Mahkamah Rayuan menolak lima rayuan Majlis Peguam dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam menganugerahkan dua arahan injunksi dan satu pengisytiharan kepada Raja Segaran dalam dua permohonan untuk menghalang Majlis Peguam daripada mengadakan EGM dan mesyuarat agung tersebut yang sepatutnya bersidang pada 1999 dan 2000.
Majlis Peguam pada 29 November 1999 telah mengeluarkan satu notis menyeru agar dipertimbangkan oleh EGM, dan jika diluluskan, untuk menerima usul bahawa mereka, antara lain mengiktiraf bahawa kebebasan di dalam mana-mana negara demokrasi bukan sekadar kesejahteraan daripada segi ekonomi dan ketiadaan pencerobohan tetapi juga wujudnya keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Ia juga diputuskan dalam notis itu untuk membawa perhatian pihak berkuasa terhadap semua contoh-contoh kontroversi relevan yang telah menghakis keyakinan di dalam badan kehakiman dan untuk meneruskan pelantikan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi membuat siasatan sedemikian selain saranan-saranan untuk memastikan keyakinan di dalam badan kehakiman Malaysia dipulihkan sepenuhnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.