Tujuh penduduk Iban akan didakwa bakar balak
Terjemahan Tujuh penduduk Iban yang ditahan polis sejak Jumaat lalu kerana disyaki membakar kayu balak milik sebuah syarikat pembalakan di Pantu, Bahagian Sri Aman, Sarawak, akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Terjemahan Tujuh penduduk Iban yang ditahan polis sejak Jumaat lalu kerana disyaki membakar kayu balak milik sebuah syarikat pembalakan di Pantu, Bahagian Sri Aman, Sarawak, akan dihadapkan ke mahkamah esok.
"Siasatan belum lagi siap. Kami masih mempunyai satu dua saksi lagi untuk diambil kenyataan," kata Ketua Polis Sri Aman, DSP Abdul Hamid Bulat hari ini.
Menurutnya, jika siasatan itu siap esok, ketujuh-tujuh mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis, atau memohon supaya tahanan reman ke atas mereka dilanjutkan.
Sementara itu, peguam mereka, Dominique Ng memberitahu malaysiakini, seorang daripada penduduk Iban tersebut, Tuai Rumah Rayang Ringkai, memiliki surat dari Jabatan Perhutanan yang menunjukkan syarikat balak terbabit Tasini Project Management Consultant Sdn Bhd , tidak mempunyak hak untuk masuk dan membalak di hutan komunal Iban.
"Jelas syarikat tersebut memasuki kawasan berkenaan secara haram, tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan," kata Ng, sambil menambah, jika pihak polis mengetahui perkara tersebut, penduduk Iban dari Kampung Bait, Pantu itu, tidak akan ditangkap dan ditahan reman.
Pertahan hak
Ng berkata, beliau akan pergi ke Bandar Sri Aman, yang terletak kira-kira 180km di barat laut bandar Kuching, untuk menemui pihak polis serta pelanggannya dan mewakili mereka di mahkamah.
"Dengan ada surat Jabatan Perhutanan itu, saya akan meminta pihak polis menunjukkan sebab mengapa mereka tidak boleh dibebaskan dan saya akan menentukan tindakan selanjutnya, memandangkan ketujuh-tujuh mereka ditangkap dan ditahan reman tanpa sebab munasabah," tambahnya.
Jurucakap sebuah badan bukan kerajaan tempatan turut mengecam tindakan polis itu memandangkan penduduk terbabit hanya mahu mempertahan hak sah mereka ke atas tanah adat (NCR), daripada kegiatan pembalakan.
Sementara itu, penahanan pemilik tanah NCR di Pantu itu berikutan konflik dengan syarikat kerjasama sebuah agensi kerajaan negeri dengan kumpulan pelabur dari Semenanjung itu telah menarik perhatian banyak badan hak asasi manusia dari Kuala Lumpur, termasuk Suaram.
Mereka telah melahirkan kebimbangan masing-masing terhadap pelanggaran hak kumpulan orang asal terhadap tanah milik nenek moyang mereka, atas kepentingan komersial, yang disokong oleh pihak berkuasa negeri./ Berita asal
Tony Tien adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak

