Pelajar cemerlang STPM dijanjikan kerakyatan kecewa lagi
Penantian pelajar cemerlang STPM Roisah Abdullah untuk status kerakyatan belum berakhir.
Selepas gagal bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pagi ini meskipun mendapat temu janji, pegawai di kementerian itu sebaliknya berjanji akan menghantar permohonan Roisah kepada Zahid hari ini.
Bagaimanapun, Roisah kemudian dimaklumkan bahawa permohonannya akan dipertimbangkan "dalam masa terdekat" sebelum diarah pulang.
Naib Presiden PKR N Surendran yang menyorot perkara itu minggu lalu menggesa agar Zahid tidak melengahkan permohonan Roisah.
"Meskipun telah diberi jaminan oleh timbalan pengarah kementerian itu (Hashimah Nik Jaafar) bahawa perkara itu akan dipertimbangkan oleh menteri hari ini, Roisah dikecewekan sekali lagi.
"Kami diberitahu bahawa permohonan itu akan dipertimbangkan dalam masa terdekat tapi ini boleh bererti bila-bila masa.
"Ia tidak meyakinkan kerana kali terakhir menteri dalam negeri mengambil masa lima tahun untuk mempertimbangkan permohonan Roisah," katanya kepada Malaysiakini.

Roisah dimaklumkan pada Januari lalu bahawa permohonannya untuk status warganegara yang dihantar pada 2013 telah ditolak.
Bapa gadis 21 tahun yang dilahirkan di Klang itu tidak diketahui, sementara ibunya merupakan warga asing. Roisah diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu dan dibesarkan di Malaysia.
Pada 2014, ibu angkatnya meninggal dunia. Pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah membuat rayuan dari penjara untuk kes Roisah.
Awal hari ini, Surendran membantu Roisah mengisi permohonan baru sementara Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin bersetuju dinamakan sebagai penjaga bagi memudahkan proses.
Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara yang menolak permohonan Roisah menyebabkannya tidak mempunyai status kerakyatan mana-mana negara sehingga tidak boleh memohon melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.
Roisah mendapat 3A dan 1B dalam peperiksaan STPM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang akaun atau ekonomi.

