Jawatankuasa penaja parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) telah memulakan rundingan dengan Parti Nasional Sarawak (Snap) untuk menggunakan lambang parti itu dalam pilihanraya negeri yang akan datang, seandainya kongres itu tidak sempat didaftarkan, atau pendaftarannya ditolak.

Ketua Penerangan Jawatankuasa Penaja MDC, Joseph Tawie berkata, dalam mesyuarat yang diadakan awal minggu lalu, kedua belah pihak bersetuju dengan opsyen tersebut kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) nampaknya mungkin'memerap' permohonan pendaftaran kongres tersebut.

Menurutnya, para pemimpin MDC juga telah sepakat bahawa lebih baik bagi calon-calonnya bertanding menggunakan lambang sebuah parti politik, dan bukannya bertanding sebagai calon bebas.

Tawie berkata, Presiden Penaja, Nicholas Bawin telah menemui Kaswuri Keman dari ROS di Putrajaya Jumaat lalu dan diberitahu bahawa beliau (Kaswuri) telah menerima arahan 'dari atas' supaya 'menyimpan' permohonan pendaftaran MDC buat sementara waktu.

Sewaktu MDC mengemukakan permohonan pendaftarannya Mei lalu, parti itu telah dijanjikan bahawa keputusannya akan diketahui dalam tempoh empat bulan dari tarikh tersebut.

Bawa ke Parlimen

Tawie berkata, mereka akan meneruskan usaha untuk mendaftar parti itu, termasuk meminta ahlli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen (foto) membangkitkannya di Dewan Rakyat "memandangkan tiada seorangpun ahli Parlimen keturunan Dayak yang sanggup berbuat demikian".

Menurutnya, MDC adalah untuk ahli bekas Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibubarkan, yang tidak menyertai parti politik lain atau hanya mahu menyertai MDC sahaja.

Para pendokong penubuhan MDC mendakwa, mereka mendapat sambutan "amat menggalakkan", terutama di kalangan masyarakat Iban, dan mensasarkan kerusi yang disandang oleh parti kaum Dayak Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) kedua-duanya komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Pilihanraya Negeri Sarawak mesti diadakan pada bulan September 2006, tetapi terdapat spekulasi yang ia mungkin diadakan Mac tahun depan.

Tajem bertanding

Pilihanraya itu juga dijangka menyaksikan kemunculan semula bekas Presiden PBDS, Datuk Daniel Tajem (foto) bekas timbalan ketua menteri dan bekas pesuruhjaya Malaysia ke New Zealand dalam politik Sarawak. Beliau dijangka bertanding atas tiket Snap, kerana pernah menganggotai parti tersebut.

Ramai penduduk Iban menyifatkan Daniel seorang peguam dan pernah menjadi presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak sebagai ikon masyarakat tersebut.

Beliau dijangka bertanding kerusi Bukit Begunan, yang pernah dimenanginya sebelum ini. Penyandang kerusi itu dari PRS Mong Dagang, bekas seorang pegawai bank dijangka digugur dan digantikan oleh ahli perniagaan keturunan Iban, Donald Lawan, mungkin atas tiket BN-PBB.

Para pemerhati politik berpendapat, pilihanraya negeri mungkin menyaksi persaingan hebat di antara parti-parti kaum Dayak di pihak pembangkang dan BN di kawasan majoriti kaum tersebut..

Tawie berkata, sekurang-kurangnya 32 kerusi akan ditandingi di bawah tiket Snap.

Presiden Star (parti Pembaharuan Negeri), Dr Patau Rubis (foto), juga bertanding di bawah tiket Snap dalam pilihanraya negeri 2004. Bagaimanapun, bekas naib presiden kanan Snap itu tewas di kerusi Mas Gading.


Tony Tien adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak