Felda didakwa monopoli projek
Felda disaran supaya tidak memonopoli sebaliknya mengagihkan projeknya kepada kontraktor tempatan.
Felda disaran supaya tidak memonopoli sebaliknya mengagihkan projeknya kepada kontraktor tempatan.
Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata, selama ini Felda tidak membantu kontraktor luar, tetapi melaksanakan sendiri projek menerusi kontraktornya.
"Oleh itu, satu polisi baru harus diperkenalkan supaya Felda diwajib mengagihkan projeknya kepada kontraktor tempatan," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula berhujah, Felda sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tidak seharusnya bersaing dengan kontraktor tempatan.
Beliau mahu kajian dibuat supaya Felda memberikan projeknya kepada kontraktor tempatan dan tidak mengayakan diri sendiri.
'Letak Puspakom bawah JPJ'
Sementara itu, Abdul Ghapur meminta kerajaan mengemaskinikan operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Komersial (Puspakom) dengan meletakkannya semula di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Di tempat di mana dua institusi ini berjauhan antara satu sama lain, ia menyukarkan orang ramai untuk membuat urusan segera," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau juga mendakwa ada sindiket yang terlibat dalam urusan Puspakom dan JPJ seperti yang sudah diketahui umum dan meminta perkara itu disiasat.
"Ada kenderaan yang berkeadaan elok tidak diluluskan oleh JPJ, tetapi yang tidak elok, boleh lulus di Puspakom," katanya.
Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mencelah berkata JPJ dan Puspakom memberi banyak alasan untuk meluluskan pemeriksaan ke atas kenderaan.
"Bagi (wang) lulus, kalau tidak ada ini (sambil membuat isyarat dengan tangan), tak lulus," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.