Pengedar bermaharajalela akibat kelemahan akta dadah
Terdapat banyak kelemahan dalam akta-akta yang terbabit kesalahan dadah, yang menyebabkan pengedar bermaharajalela kerana mereka yakin boleh terlepas daripada hukuman walaupun setelah ditahan dan didakwa, kata Setiausaha Pemadam, Datuk Kamilia Ibrahim.
Terdapat banyak kelemahan dalam akta-akta yang terbabit kesalahan dadah, yang menyebabkan pengedar bermaharajalela kerana mereka yakin boleh terlepas daripada hukuman walaupun setelah ditahan dan didakwa, kata Setiausaha Pemadam, Datuk Kamilia Ibrahim.
Katanya lima akta terbabit yang perlu disemak semula ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.
"Kebanyakannya melibatkan kelemahan teknikal, yang mana peguambela boleh menggunakannya untuk menimbulkan keraguan terhadap kes yang akhirnya menyebabkan penjenayah terbabit terlepas dari disabitkan," katanya.
Antara kelemahan teknikal itu ialah "anggapan berganda" yang tidak diterima pakai di Malaysia menurut Seksyen 379(a) dan 37(d)(a) Akta Dadah Berbahaya.
"Anggapan berganda" bermaksud satu bukti tidak boleh digunakan untuk mensabitkan tertuduh dengan dua tuduhan.
"Contohnya, suspek yang ditahan kerana membawa dadah tidak boleh dituduh sebagai pengedar dadah atas alasan dia memiliki dadah itu.
"Walau berapa banyak dadah yang dibawa oleh pendakwa ke mahkamah untuk membuktikan tertuduh memiliki dadah dan berniat mengedarkannya, hakim tidak akan menerima anggapan berganda. Akhirnya penjenayah berkenaan tidak dapat disabitkan," katanya.
'Anggapan berganda'
Menurut laporan
Bernama,
beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Pemadam mencadangkan supaya seksyen berkenaan dipinda agar "anggapan berganda" dapat diguna bagi mensabitkan pengedar terbabit.
Kamilia berkata cadangan itu adalah hasil Bengkel Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah di Malaysia yang diadakan pada 4 Oktober lalu yang melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau turut kesal dengan sikap sesetengah hakim yang terlalu teknikal dalam menghakimi kes-kes dadah yang melibatkan hukuman mati mandatori.
"Jika mereka enggan menjatuhkan hukuman mati mandatori sekalipun, sekurang-kurangnya mereka boleh mensabitkan penjenayah itu, bukannya membuang kes hanya kerana sedikit keraguan," katanya.
Kamilia berkata hakim juga cenderung untuk melepaskan suspek yang ditahan bersama kuantiti dadah yang sedikit kerana berpendapat ia bukan kesalahan besar, tidak menyebabkan kematian atau melibatkan rompakan.
"Hakim sepatutnya melihat akta-akta itu atas 'semangat' mengapa ia diwujudkan. Mereka mesti melihat secara menyeluruh termasuk kesan jangka panjang," katanya.
Katanya kelemahan lain yang ketara ialah penyimpanan bahan bukti bagi kes dadah yang tidak sistematik.
"Kenderaan yang disita dibiar tersadai di perkarangan balai polis sehingga bertahun-tahun sementara menunggu tarikh perbicaraan. Dadah yang dirampas juga tidak disimpan dengan baik sehingga kadangkala menyebabkan berlaku kecurian ataupun perubahan warna.
"Kelemahan-kelemahan sebeginilah yang menyebabkan banyak kes dadah dibuang mahkamah," katanya.
Bahan bukti
Sehubungan itu Pemadam mencadangkan agar undang-undang diperkemaskan lagi supaya bahan bukti mahkamah dikawal ketat dan gambar bahan bukti boleh digunakan sebagaimana yang dilakukan di negara-negara barat.
Pemadam seterusnya mencadangkan metodologi penghantaran terkawal diperuntukkan dalam Akta Dadah Berbahaya bagi menghapuskan rantaian penyeludupan secara keseluruhan terutama yang melibatkan pengedaran dadah antara negara.
"Contohnya polis mengetahui akan berlaku penyeludupan dadah dari Malaysia ke Australia, mereka akan membiarkan penyeludup melaksanakan rancangan itu manakala pihak berkuasa mengikut setiap langkah penjenayah di sepanjang perjalanan penyeludupan itu agar suspek dapat ditangkap," katanya.
Kamilia berkata pihak-pihak terbabit mesti proaktif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat Negara Bebas Dadah pada tahun 2015.

