Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO: 2 April umum calon cuma desas-desus media
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 10:06 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menolak laporan pengumuman senarai penuh calon BN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dibuat pada 2 April depan.

"Laporan akhbar hari ini bahawa pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-14 akan dibuat oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2 April hanya merupakan satu spekulasi pihak media," ciap PMO dalam hantaran di Twitter.

New Straits Times hari ini memetik sumber berkata pengumuman akan dibuat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT) dan pimpinan dari 13 parti komponen bakal hadir.

Surat watikah pelantikan calon akan diberikan Najib kepada calon yang bertanding 222 kerusi parlimen dalam suatu majlis yang dianjurkan untuk kali pertama.

Pada PRU13, Najib menyampaikan surat watikah calon kepada pimpinan parti komponen lima hari sebelum hari penamaan calon.

Difahamkan majlis untuk menyampaikan surat watikah kepada semua calon bagi menaikkan semangat mereka menjelang PRU14.

Desas-desus tarikh dikatakan lima hari sebelum BN melancarkan manifesto mereka pada 7 April di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dilaporkan enggan mengesahkan tarikh pengumuman calon itu tetapi berkata ia akan berlangsung sebelum pelancaran manifesto.

"Terdapat desas-desus ia akan dibuat pada 7 April. Tetapi tidak mustahil (Najib) akan mengumumkan lebih awal sebaik sahaja beliau bersedia," kata Annuar.

Lihat Komen
ADS