Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ATM, PDRM pantau individu berpotensi cetus serangan mengejut
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 6:24 AM
Dikemaskini: 10:36 PM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi rasmi luar negara bagi memantau individu yang berkemungkinan mencetuskan ‘serangan mengejut di saat akhir’ pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sentiasa bekerjasama rapat dan berkongsi maklumat jika terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dan membuat ancaman pada musim tertentu.

“Setakat hari ini saya tengok keadaan masih terkawal tapi kita jangan ambil mudah dengan apa yang kita nikmati pada hari ini.

“Keamanan tidak datang dengan mudah tanpa kerjasama, sokongan, keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan daripada pihak berkuasa negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) di Dewan Seroja, Kem Kementah, di ibunegara semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamad Fuzi bahawa PDRM telah mengenal pasti kira-kira 1,100 individu dan organisasi yang berpotensi melakukan 'serangan mengejut di saat akhir' bertujuan menimbulkan kekecohan pada PRU14.

Ditanya sekiranya ada warga ATM yang terlibat dalam potensi serangan mengejut itu, Hishammuddin berkata beliau tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan kepada mereka jika cuba mencetuskan kekecohan seumpamanya.

“Mana-mana pegawai atau anggota ATM tidak akan terkecuali jika mereka menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, PJSR yang diadakan di Kementerian Pertahanan semalam bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup kalangan warga ATM melalui penjualan barangan keperluan asas pada harga lima peratus hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Antara barangan dijual termasuklah beras, tepung, minyak masak, gula, bawang, ayam, ikan, susu tepung dan telur.

Selain itu, Hari Bersama Pelanggan Kementerian Pertahanan turut diadakan melibatkan 20 agensi bawah Kementerian Pertahanan dan ATM.

- Bernama

Lihat Komen
ADS