Nga calon DAP lawan presiden Gerakan di Teluk Intan
PRU14 l DAP dijangka menamakan pengerusinya di Perak yang juga penyandang MP Taiping, Nga Kor Ming sebagai calon bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, minggu depan, kata beberapa sumber parti itu.
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir di majlis pengumuman yang akan dibuat di kawasan pilihan raya itu.
"Kami diberitahu untuk menyediakan ceramah yang akan diadakan minggu depan, di mana pemimpin tertiggi parti akan mengumumkan Nga sebagai calon," kata satu sumber di bahagian DAP Teluk Intan.
Bagaimanapun, katanya, tarikh acara itu belum lagi disahkan kerana ia bergantung kepada jadual Dr Mahathir.
"Boleh jadi 31 Mac atau 1 April. Kami bercadang mengadakan majlis itu di Speedy Field, yang boleh menampung sehingga 7,000 orang," kata sumber itu.
Menurutnya, parti itu mahu Nga mencabar anggota Parlimen Teluk Intan yang juga Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam pertembungan dua tokoh itu.
Calon kerusi Bakri
Seorang pemimpin kebangsaan DAP yang enggan namanya disebut juga berkata pihak parti telah membuat keputusan itu dua hari lalu.
"Ia adalah beliau (Nga)," katanya.
"Beliau dijangka menjadi calon keempat yang diumumkan oleh parti selepas Liew Chin Tong (di Ayer Hitam) dan Anthony Loke (di Seremban).
"Parti itu akan mengumumkan pencalonan Yeoh Bee Yin di Bakri hujung minggu ini," katanya.
Malaysiakini, bagaimanapun tidak dapat menghubungi Nga atau pemimpin DAP untuk mengesahkan perkara itu.
DAP memenangi kesemua tujuh kerusi parlimen dan 18 kerusi DUN yang ditandinginya di Perak pada pilihan raya umum 2013, tetapi kemudiannya kalah di Teluk Intan dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 2014 selepas MP dari parti itu meninggal dunia.
Dalam pilihan raya kecil itu, Mah mengalahkan Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya 238 majoriti undi.
Pada hari Rabu, New Straits Times melaporkan Mah berkata dia yakin mampu boleh mempertahankan kerusi itu, sekiranya dia dicalonkan.

