ISA balas dendam kjaan - Presiden PAS
Kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai "membalas dendam" terhadap PAS apabila tetap menganjurkan ceramah walaupun larangan polis berkuatkuasa sebulan lalu, kata Presidennya Datuk Fadzil Noor.
"Langkah bacul kerajaan Umno-Barisan Nasional ini jelas menampakkan ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat (yang) menentang semua penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pencabulan demokrasi dan amalan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin mereka," katanya, mengulas beberapa tangkapan terbaru aktivis parti itu semalam.
Malaysiakini semalam melaporkan seorang pemimpin Pemuda PAS Johor Norashid Sakip ditangkap mengikut seksyen 73(1) ISA.
Sementara seorang aktivis Pemuda Perak, Tajuddin Abu Bakar turut ditangkap di Selama dan dipercayai "dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman."
Malaysiakini difahamkan, dua aktivis Pemuda Terengganu, Solehan A Ghafar dan Alias Ngah, turut ditangkap di Kuala Terengganu.
Butiran tangkapan di Perak dan Terengganu belum berjaya disahkan secara rasmi setakat ini.
Keempat-empat tangkapan ini dibuat antara 8.30 hingga 11 pagi semalam.
[Laporan penuh selepas ini]

