Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat MB: Kerajaan Selangor tak jual tanah di Ijok

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong menegaskan kerajaan negeri tidak menyerahkan mana-mana tanah di Ijok.

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To yang mendakwa pihak ketiga menerima RM262.7 juta daripada RM1.18 bilion urus niaga tanah di situ.

See-To mendakwa jumlah itu hampir menyamai jumlah yang diberi kepada peneroka iaitu RM300 juta.

Beliau juga mendakwa kerajaan Selangor bukan sahaja sedar akan bayaran itu malah menyokongnya.

Yin berkata persoalan yang dibangkitkan See-To (gambar) bersandar kepada anggapan salah yang telah dijelaskan dalam beberapa kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak pernah menjual tanah dalam kes itu.

"Saya ulang, kerajaan negeri tidak menjual mana-mana tanah (di Ijok). Persoalan yang ditimbulkan daripada anggapan itu tidak berasas.

"Semua soalan BN berdasarkan kekeliruan mereka terhadap geografi kawasan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini beliau menjelaskan tanah di Ijok dipisahkan kepada dua bahagian iaitu Alam Perdana yang diambil semula oleh kerajaan negeri pada 2010, dan Alam Mutiara serta Alam Utama yang kekal sebagai tanah persendirian.

Beliau berkata tanah yang terbabit dalam urus niaga RM1.8 bilion itu adalah tanah persendirian, bukan Alam Perdana.

"Bukan semua tanah di Ijok berada di lokasi sama.

"Misalnya ia seperti jika saya sebagai pemilik (kompleks beli-belah) Pavilion tetapi dimarahi orang ramai apabila (kompleks beli-belah) Sungei Wang dan KL Plaza dijual," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS