Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak mempunyai banyak perbezaan dengan pilihan raya sebelumnya yang tidak adil kepada pembangkang.

Namun beliau berkata PAS tiada pilihan selain istiqamah menyertainya demi membawa perubahan kepada negara termasuk menjadikan pilihan raya bersih dan saksama.

"Negara akan berdepan PRU ke-14 pada bila-bila masa dan kali ini tiada bezanya dengan yang sebelumnya.

"Sistem pilihan raya masih dikongkong pihak berkuasa dan wujud unsur tidak adil kepada parti yang bertanding, khususnya pembangkang," dakwanya ketika berucap pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikannya dengan lebih lanjut.

Dakwaan ketidakadilan dalam pilihan raya sering kali dibangkitkan parti politik dan NGO dan semakin diperkatakan menjelang PRU.

Antara isu yang biasa timbul adalah undi pos dan persempadanan semula yang tidak telus serta keraguan dalam daftar pemilih.

Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali menafikan dakwaan tersebut.

Akhbar The Australian hari ini memetik penganalisis politik Wong Chin Huat sebagai berkata cadangan persempadanan semula SPR yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Rabu ini akan membolehkan BN menang majoriti dua per tiga hanya dengan 40 peratus undi.

Persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu mendapat kritikan bukan hanya kerana ketidaksembangan pembahagian kawasan tapi juga kerana mewujudkan kawasan berdasarkan kaum, yang menurut HARAPAN adalah langkah bagi mengurangkan kesan dari pengundi bukan Melayu yang tidak menyokong BN.

PRU ke-14 dijangka akan diadakan tidak lama lagi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi memberi bayangan tarikh keramat itu, kali ini sebelum atau pada Mei ini.