Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Persempadanan SPR bantu BN menang dua per tiga majoriti dengan 40% undi'
Diterbitkan:  Mar 24, 2018 4:45 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat membantu BN menang dua per tiga majoriti dengan hanya perlu meraih 40 peratus undi, kata penganalisis politik.

Penganalisis Wong Chin Huat dilaporkan berkata kepada akhbar The Australian dalam satu laporan hari ini bahawa persempadanan semula boleh memburukkan lagi ketidakseimbangan pembahagian kawasan parlimen.

"Situasi terbaik buat kerajaan adalah jika pilihan raya ini berlangsung dengan tidak seimbang.

"Sekiranya jumlah pengundi yang keluar mengundi menurun kepada 70 peratus, kerajaan boleh menang dua per tiga majoriti dengan hanya 40 peratus undi," kata Wong dalam laporan itu.

Wong menjelaskan jumlah purata sebuah kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah 77,655 pengundi berbanding BN 46,510.

Hal ini, menurut Wong, membolehkan BN memenangi 60 peratus kerusi yang ditandingkan pada 2013 dengan hanya 47 peratus undi, sementara Pakatan Rakyat yang ketika itu menang undi popular (51 peratus) hanya mampu memperoleh 40 peratus kerusi.

Persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu mendapat kritikan bukan hanya kerana ketidaksembangan pembahagian kawasan tapi juga kerana mewujudkan kawasan berdasarkan kaum, yang menurut HARAPAN adalah langkah bagi mengurangkan kesan dari pengundi bukan Melayu yang tidak menyokong BN.

"Mereka memecahkan kawasan untuk mengumpulkan pengundi Cina di satu kawasan dan pengundi Melayu di satu kawasan lain yang mewujudkan sistem pilihan raya yang terpecah dengan perwakilan hanya berkhidmat untuk satu kumpulan kaum," kata Naib Presiden PKR Tian Chua yang turut dipetik sebagai berkata.

"Kesan untuk jangka masa panjang adalah kita akan mempunyai parlimen yang berpecah belah. Kita menentang perkara ini dari segi prinsip, bukan kerana kita akan kalah, tapi kerana ia memudaratkan negara," katanya.

Laporan itu juga menyifatkan tindakan BN mengusulkan cadangan persempadanan semula itu di Parlimen sebagai langkah untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, kata Wong, satu-satunya harapan pembangkang adalah sekiranya jumlah pengundi yang keluar mengundi tinggi bagi memastikan perubahan terjadi seperti pada 2013 yang menyaksikan 95 peratus pengundi keluar mengundi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS