Sesi perbahasan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila isu peruntukan bantuan modal kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibangkitkan oleh ahli Parlimen, menjadi topik panas, yang menyaksikan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Tindakan Datuk Liow Tiong Lai (BN-Bentong) yang juga Ketua Pemuda MCA meminta Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) supaya tidak mempolitikkan isu itu mencetuskan rasa tidak puas hati ahli Parlimen pembangkang.

Fong mendakwa, MCA yang mempunyai dua timbalan menteri (Kementerian Pelajaran dan kementerian Pengajian Tinggi), tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu itu, tetapi sebaliknya dilihat senada dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau mempersoalkan konsep perkongsian kuasa BN dengan menyoal apakah ada pengkongsian kuasa yang tidak setaraf dalam Barisan Nasional?

"Saya dah katakan dari awal tadi, DAP janganlah mempolitikkan isu ini, jangan menangguk di air keruh.

"Setiap ahli Parlimen di sini berjuang untuk mendapatkan peruntukan yang lebih untuk pembangunan (sekolah itu)," kata Liow ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006.

'Bersendiwara'

Menurut laporan Bernama, dewan kemudiannya kecoh apabila M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) bangun dan mendakwa Liow bersandiwara berhubung isu itu.

"Semua masyarakat Cina mengatakan ini politik...jangan bersandiwara di sini...jangan bangkitkan kemarahan," kata Chong Eng lantang, disusuli Kulasegaran yang mahu Liow menjelaskan kenyataannya itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Lim Si Cheng menegur pembangkang beberapa kali sebelum Liow diberikan laluan meneruskan ucapan.

Isu itu tercetus apabila K.Devamany (BN-Cameron Highland) mempersoalkan RM10 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membantu SJKC, SJKT, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah mubaligh sebagai tidak mencukupi.

Liow berkata peruntukan RM10 juta itu bukannya peruntukan bantuan modal, sebaliknya ia adalah peruntukan "kecemasan" untuk membaiki sekolah yang dalam keadaan uzur atas dasar keselamatan.

156 SJK(T) daif

Sementara itu, MIC menyenaraikan sebanyak 156 buah sekolah jenis kebangsaan tamil di negara yang perlu diperbaiki segera bagi keselesaan pelajar sekolah terbabit.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kerja-kerja baikpulih itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM4 juta.

Katanya, perbelanjaan itu akan dipohon daripada peruntukan khas sebanyak RM10 juta yang diluluskan kerajaan bagi membaik pulih sekolah jenis kebangsaan Tamil, SJKC dan sekolah mubaligh.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap permintaan kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Panjis, di Rompin, Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata matlamat kerajaan adalah untuk memastikan semua sekolah Tamil menikmati kemudahan dan keselesaan yang sama seperti sekolah-sekolah lain.