Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mazlan Aliman bebas tahanan reman
Diterbitkan:  Mar 24, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman hari ini dibebaskan selepas ditahan reman sejak 21 Mac lalu.

Peguamnya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata Mazlan direman di Lokap Berpusat Jinjang bagi membantu siasatan terhadap ceramahnya di Kerteh, Terengganu pada 1 Mac lalu.

"Beliau disoalsiasat bawah peruntukan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Sebelum dibebaskan, beliau juga diambil keterangan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini belum pasti akan ada pendakwaan atau tidak, Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (KANUN) akan memantau kes ini dan membela Mazlan jika beliau didakwa," katanya dalam kenyataan.

Mazlan ditahan di rumahnya di Felda Bukit Ranum, Kulai, pada pukul 1.30 pagi.

Wan Anwar turut menyelar cara polis menahan Mazlan yang didakwanya seperti menahan penjenayah tegar dan berbahaya dengan menghantar kira-kira sepuluh anggota polis ke rumahnya pada awal pagi.

"Mazlan bukan penjenayah dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah. Malah beliau selalu memberi kerjasama yang baik kepada polis setiap kali perlu memberi keterangan," katanya lagi.

Penahanan Mazlan dibuat selepas laporan polis oleh peguam Datin Seri Rosmah Mansor, Nor Hajran Mohd Noor berikutan satu video bertajuk 'Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon Yang Lingkup' yang dimuat naik di Youtube.

Dalam video itu,  Mazlan mendakwa Rosmah terlibat dengan beberapa projek Felda, termasuk penternakan ikan Sturgeon yang membawa kerugian jutaan ringgit.

Lihat Komen
ADS