Sebanyak 23 jenis barangan telah diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga Barang Pengguna yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2006 pada 30 September lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, berikutan itu, kementeriannya telah menetapkan harga jualan runcit barangan makanan asas yang terpilih itu.

Jenis-jenis barangan tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet semalam, katanya dalam sidang akhbar mengenai maklumat terperinci skim baru itu, di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, barangan berkenaan ialah ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import dari India, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing import bertulang, dan daging kambing import tanpa tulang (tidak termasuk paha).

Harga barangan berkenaan ditetapkan masing-masing pada RM6, RM6.70, RM18, RM7.50, RM23, RM15 dan RM18 sekilogram, katanya.

Barangan lain, termasuklah ikan kembung tempatan, ikan bawal putih (401 gram ke atas), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram sekilo), udang putih besar (berat antara 26 ekor hingga 40 ekor sekilogram), udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilo), dan telur ayam gred A, telur ayam gred B, dan telur ayam gred C.

Amaran pada peniaga

Menurut laporan Bernama, harga barangan berkenaan ditetapkan masing-masing pada RM9, RM50, RM40, RM50, dan RM40 sekilo serta 30 sen, 29 sen, dan 28 sen sebiji.

Barangan selebihnya termasuklah kacang panjang, kubis bulat, cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil dari India, ubi kentang dari China, kubis panjang dari China dan tomato.

Harga barang itu ditetapkan masing-masing pada RM3.50, RM2.50, RM9, RM3.50, RM4, RM2, RM4 dan RM4 sekilo.

Shafie berkata skim ini akan dikuatkuasakan ke atas penjual barangan selama empat setengah bulan mulai 15 Oktober 2005 hingga 28 Februari 2006, merangkumi tiga perayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Katanya, para peniaga perlu mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan di bawah skim kawalan harga barangan seperti larangan menjual melebihi harga maksimum runcit yang ditetapkan, berniaga barangan terkawal tanpa lesen dan gagal meletakkan tanda harga menggunakan papan warna merah jambu.

"Individu yang didapati bersalah melanggar peraturan tersebut di bawah Akta Kawalan Harga 1946 boleh didenda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," kata Shafie.

Di bawah akta yang sama, pesalah individu juga boleh dikompaun sehingga RM7,500 sementara syarikat-syarikat yang didapati bersalah pula boleh didenda maksimum RM25,000.