Lapan orang, termasuk aktivis Pemuda PAS, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa negeri semalam, polis mengumumkan hari ini.

Berdasarkan siasatan, polis mengenal pasti lebih 50 orang lagi anggota kumpulan ini, yang dikenali 'Kumpulan Mujahidin Malaysia' (KMM), di negara ini. Anggota kumpulan ini sedang dipantau sama ada pembabitan mereka serius atau tidak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai petang ini.

"Semua mereka pernah menjalani latihan jihad di Afghanistan atau pernah menjalani latihan ketenteraan di sana," kata Norian seperti dilaporkan agensi berita Bernama .

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, empat daripada lapan yang ditahan semalam dikenali aktivis Pemuda PAS.

Mereka adalah ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip, Ketua Pemuda Larut Ahmad Tajuddin Abu Bakar dan dua aktivis Pemuda Terengganu, Solehan Abdul Ghaffar dan Alias Ngah.

"Mereka ditangkap di bawah sekyen 73 (1) akta itu," kata ASP Shamsuddin Ali, jurucakap ibu pejabat polis Bukit Aman, kepada malaysiakini petang tadi, sebelum pengumuman Norian.

Seksyen 73(1) membenarkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari untuk soal siasat tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Menurut jurucakap itu, empat ahli PAS ditangkap di negeri masing-masing dan menafikan laporan awal yang menyebutkan mereka dibawa ke Bukit Aman.

Malaysiakini semalam melaporkan Noor Ashid, yang juga ketua Pemuda cawangan Sungai Benut, ditangkap di balai polis Simpang Renggam kira-kira jam 11 pagi.

Sementara Ahmad Tajuddin ditangkap pukul 10 pagi semasa beliau berada di rumahnya di Selama, Perak, sumber-sumber pembangkang memberitahu malaysiakini tengah malam tadi.

Di Kuala Terengganu, Solehan ditangkap di Wakaf Tembesu dan Alias di Manir, masing-masing jam 8.30 dan 10 pagi semalam.

Sementara Bernama melaporkan, empat lagi yang ditahan adalah Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah) dan Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor).

Tangkapan terbaru ini sebagai susulan operasi ISA terhadap sekumpulan aktivis Islam yang disifatkan "kumpulan agama militan" pada Mei lalu.

Operasi tiga bulan lalu, seperti dilaporkan oleh media arus perdana, mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian, termasuk rompakan di sebuah bank di Petaling Jaya.

'Membalas dendam'

Tiga ditangkap polis dan didakwa di mahkamah berhubung kejadian itu, sementara enam lagi ditahan mengikut ISA.

Norian dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan tangkapan susulan walaupun selepas lapan orang ini ditahan.

Sebagai reaksi segera, PAS menyifatkan penggunaan ISA terhadap aktivis parti itu sebagai tindakan "membalas dendam" apabila ia bertegas menganjurkan ceramah walaupun larangan polis berkuatkuasa sebulan lalu.

"Langkah bacul kerajaan Umno-Barisan Nasional ini jelas menampakkan ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat (yang) menentang semua penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pencabulan demokrasi dan amalan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin mereka," kata Presidennya Datuk Fadzil Noor dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .

Beliau mendakwa tangkapan ini sebahagian usaha Umno menggunakan kuasa polis untuk menghalang ceramah-ceramah parti itu.

"Umno jangan cuba menipu dan mengelirukan rakyat sekali lagi dengan berdalih bahawa (mereka) ini bukan tahanan di bawah ISA tetapi hanya siasatan di bawah akta itu," tambahnya.

Parti Rakyat Malaysia turut mengkritik operasi ISA terbaru itu. "Tindakan polis itu jelas sekali satu bentuk penyalahgunaan kuasa," kata Ketua Penerangan PRM Hassan Karim.

"PRM menyeru polis agar menjaga nama baik institusi Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah badan profesional yang berwibawa untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Tambahnya, polis tidak boleh "membiarkan dirinya dijadikan alat atau perkakas bagi menjaga kepentingan politik Mahathir dan Barisan Nasional."

April lalu, polis menahan 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi di bawah akta itu. Sementara awal Julai, dua aktivis pelajar ditahan mengikut akta yang sama.

Enam daripada mereka kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun. Mereka termasuklah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Bahron dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.