Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disarankan supaya menjadualkan semula projek e-Khidmat kemudahan membuat bayaran melalui talian kerana ia tidak berfungsi dengan baik kerana sistem aplikasi komputernya tidak dibangunkan mengikut perancangan.

Saranan tersebut dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2004 berhubung prestasi projek yang telah dimulakan sejak tahun 2000.

Pengauditan yang dibuat oleh jabatan berkenaan juga mendapati konsortium yang melaksanakan projek itu tidak mematuhi syarat-syarat kontrak sepenuhnya, menyebabkan ia lewat disiapkan dan dokumen pembangunan aplikasi lambat diluluskan.

Oleh itu, menurut laporan tersebut, JPJ disyorkan supaya menjadualkan semula pelaksanaan projek e-Khidmat ini, di samping meningkat pemantauannya.

Projek bernilai RM22.74 juta telah diperkenalkan di Lembah Kelang dan dirancang dilaksanakan sepenuhnya dalam tiga fasa.

Ia juga didapati dilaksanakan tanpa pemantauan rapi dan kekurangan promosi, menyebabkan orang ramai tidak menggunakannya kerana tidak tahu tentang kewujudannya.

Menurut laporan itu lagi, akibat kekurangan publisiti, hanya 16 bayaran saman bernlai RM1,690 dibuat melalui "talian" yang dikutip melalui e-Khidmat JPJ sejak diperkenal pada tahun 2002 hingga 2005.

Jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan jumlah saman yang dibayar secara manual iaitu 577,978 bernilai RM111.05 juta sepanjang tempoh yang sama.

Kurang sambutan

Laporan itu menjelaskan, antara faktor ia kurang mendapat sambutan ialah kerana semua 43 kiosk e-Khidmat, terletak dalam kawasan pusat ujian JPJ, bukannya di tempat awam.

Daripada jumlah, hanya enam kiosk boleh melaksanakan semua jenis perkhidmatan yang ditetapkan, 13 kiosk lagi hanya boleh digunakan untuk pertanyaan dan pembayaran saman, manakala selebihnya untuk mencetak lesen belajar memandu sahaja.

Menurut laporan itu lagi, sepatutnya, jika dilaksanakan sepenuhnya, kiosk tersebut boleh menawarkan khidmat penempahan ujian bertulis, pengambilan ujian serta pembaharuan dan pengeluaran lesen memandu.

Ia juga boleh dijadikan kaunter pertanyaan dan tempat membayar saman, selain menyediakan maklumat umum dan khusus mengenai kursus dan ujian memandu

Sebelum ini, pengguna juga tidak gemar menggunakan perkhidmatan itu kerana mereka dikenakan caj RM2 bagi setiap transaksi.

Bagaimanapun, caj tersebut telah dimansuhkan sejak Mei lalu dan JPJ memberi potongan 10 peratus kepada saman yang dibayar melalui e-Khidmat bagi menggalakkan orang ramai menggunakan khidmat ini.

Sebab lain ialah kerana kurangnya maklumat, promosi atau publisiti mengenainya.

Laporan Ketua Audit Negara itu menyarankan supaya promosi secara meluas diadakan menerusi media eletronik di samping dikaji semula lokasi kiosk bagi memudahkan orang ramai menggunakannya.