Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Biro IT Umno rela tidak mendapat 'like' dan 'share' yang tinggi di media sosial demi menyebarkan maklumat sahih menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara itu menjadi pegangan biro berkenaan bagi mengelakkan penyebaran berita-berita palsu.

"Saya lebih rela tak dapat like dan share kalau (sebar) berita benar. Biarlah pihak mereka (pembangkang) terlibat dengan penyebaran fitnah.

"Kita ada bahan yang cukup untuk sebar dan tak perlu kepada bahan fitnah untuk popular," katanya pada sidang media di Kota Bharu dalam lawatan kerja ke Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut timbalan menteri perdagangan antrabangsa dan industri itu berkata, pihaknya menggariskan tiga keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh jentera IT Umno seluruh negara.

"Perkara pertama yang perlu diberi perhatian jentera mereka ialah mempromosikan perkara-perkara positif yang dibuat oleh kerajaan pusat.

"Kedua, kita perlu tangkis tohmahan yang dibangkitkan pembangkang seperti isu 1MDB dan kos sara hidup yang menjadi isu utama pembangkang dan kerja ketiga jentera IT ialah untuk mempromosi calon-calon BN," katanya yang berharap jentera IT bekerja keras sepanjang proses PRU14 berjalan.

Ahmad yang juga anggota parlimen Pontian berkata, jentera IT parti itu mempunyai kekuatan 40 orang di setiap Umno bahagian seluruh negara.

Justeru katanya, mereka perlu fokus kepada kerja-kerja PRU14 dengan daya tahan tinggi selepas dua tahun melakukan persiapan.

"Saya berpuas hati, tetapi perlu terus tingkatkan (kerja) sehingga tiba hari mengundi," jelasnya.

Lihat Komen
ADS