Anggota Parlimen Klang Charles Santiago hari ini menggesa agar pihak speaker tidak membenarkan laporan persempadanan semula pilihan raya dibentangkan di parlimen Rabu depan.

Menurut Charles laporan berkenaan tidak boleh dibahaskan kerana khuatir ia akan mewujudkan subjudis ekoran terdapat dua kes melibatkan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang kini sedang berjalan di mahkamah.

"Dia (speaker) sepatutnya tidak membenarkan laporan persempadanan semula didebatkan di parlimen sehingga semua notis bantahan berkaitan persempadanan semula telah ditentukan oleh mahkamah.

"Kini sedang ada kes yang berjalan melibatkan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang mencabar proses persempadanan semula di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

"Ia akan menyebabkan subjudis. Kita tak boleh biarkan perkara yang sedang berjalan di mahkamah dibincangkan di khalayak kerana ia akan mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya pada sidang media di Parlimen.

Turut serta pada sidang media berkenaan ialah Anggota Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ong pula berpendapat sekiranya laporan persempadanan semula dibentangkan, terdapat kemungkinan anggota parlimen dari Selangor dan Pulau Pinang tidak dapat menyertai perbahasan.

"Ada kemungkinan anggota parlimen dari dua negeri ini tidak boleh sertai perbahasan kerana fakta-fakta yang dirujukkan oleh anggota parlimen Selangor dan Pulau Pinang mungkin akan dikemukakan oleh pihak plaintif dalam kes.

"Oleh itu saya supaya ia tidak dibahaskan laporan persempadanan pada sesi ini sebelum kes-kes tersebut diputuskan oleh mahkamah," kata Ong.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan Selangor untuk mencabar proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan terhadap inkuiri tempatan oleh SPR di Selangor.

Perkara sama turut berlaku kepada kerajaan negeri Pulau Pinang apabila mereka memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi negara ini.