Ketua Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengerahkan 10,000 ahlinya untuk menghalang BERSIH daripada mengadakan bantahan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat, Rabu ini.

Jamal berkata, bantahan itu adalah tindakan terancang yang bertujuan membuat huru hara dan memburuk-burukkan kerajaan.

“Kami dari Baju Merah tak teragak-agak nak kumpulkan 5,000 hingga 10,000 orang hari Rabu ini di hadapan Parlimen. Jika Baju Kuning tak ada, Baju Merah tak ada pada hari tersebut.

“Kami akan pantau dan Baju Merah akan berada di sekitar sana, jika ada kumpulan gerakan Baju Kuning ini kami akan terus berhimpun sekitar parlimen,” kata Jamal yang juga adalah ketua Umno bahagian Sungai Besar pada sidang medianya di Ibu Pejabat Gerakan Baju Merah, Ampang, Selangor hari ini.

Jamal berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak melakukan apa sahaja bagi menghalang BERSIH daripada membuat bantahan tersebut.

“Kami tidak teragak-agak lakukan apa sahaja untuk mematahkan demonstrasi tak bermoral, tak bermaruah dilakukan BERSIH,” katanya.

Sabtu lalu, BERSIH menggesa orang ramai untuk turun ke Parlimen bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula itu Rabu ini iaitu hari laporan berhubung perkara berkenaan dijadualkan dibentang.

Pada masa sama, gabungan NGO itu mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pemimpin Umno itu berkata, BERSIH tidak wajar membuat bantahan memandangkan terdapat wakil rakyat pembangkang di parlimen semasa sesi pembentangan berkenaan.

“Biarlah ahli parlimen kita yang bersidang. Jadi campur tangan BERSIH hanya provokasi melampau untuk semarak kebencian melampau kepada kerajaan

“Kumpulan pembangkang dan ada dalam dewan, kumpulan kerajaan BN dah ada dalam dewan gunakan kerusi masing-masing nak nyatakan pandangan rakyat bukan adakan demonstrasi haram,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan membuat laporan polis terhadap BERSIH esok.