Bekas Timbalan Perdan Menteri, Tun Ghafar Baba imasukkan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC) di Kuala Lumpur pagi semalam akibat sakit jantung dan paru-paru pagi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melawat beliau hari ini. Abdullah tiba pada jam 9.30 pagi untuk melihat sendiri keadaan kesihatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pakar perubatan PMC Datuk Dr K Ampikaipakan ketika ditemui berkata keadaan pemimpin veteran itu kini stabil selepas dimasukkan pagi semalam.

Ghafar, 80, sebelum ini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya kerana sakit dada sebelum dipindahkan ke PMC.

Menziarah

Menurut laporan Bernama , Dr Ampikaipakan berkata, Ghafar diberikan rawatan bagi masalah jantung dan paru-paru yang dihidapinya dan sehingga ini sukar diramalkan berapa lama beliau akan berada di wad ICU.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Ghafar malam tadi manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut melawat beliau tengah hari ini.

Antara pemimpin lain yang kelihatan di PMC ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abdul Aziz Shamsudin.

Pada 15 September lalu, Ghafar menjalani rawatan di Institut Jantung Negara kerana asma.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang turut menziarahi Ghafar tengahari ini. Lim ditemani oleh ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.