Bekas ketua PKPM, ibu dan isteri dihadap ke mahkamah
Bekas ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) Nor Azami Ahmad Ghazali dan tiga lagi pengarah syarikat PKPM Services Berhad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas lima tuduhan masing-masing berhubung kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965.
Bekas ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) Nor Azami Ahmad Ghazali dan tiga lagi pengarah syarikat PKPM Services Berhad dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas lima tuduhan masing-masing berhubung kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965.
Tiga lagi pengarah syarikat berkenaan ialah ibu Nor Azami, Saliah Ramli; isteri Nor Azami, Sarina Mansor dan Abdul Rahman Baba.
Menurut laporan Bernama, kesemua mereka yang berdiri di luar kandang, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azniza Mohd Ali.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Narainasami Alagu manakala Nor Azami, juga pengarah syarikat itu, Saliah, Sarina dan Abdul Rahman diwakili peguambela Mohd Rashid Mokhtar
Bagi lima pertuduhan, mereka didapati gagal mematuhi kehendak di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu gagal menyerahsimpan penyata tahunan syarikat; gagal mengadakan mesyuarat Agung Tahunan syarikat; membiarkan syarikat berjalan tanpa setiausaha syarikat; menyebabkan syarikat gagal mencatat nama, alamat kediaman, tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan pekerjaan pengarah ke dalam buku daftar syarikat.
Menurut kertas pertuduhan, PKPM Services Berhad merupakan satu syarikat awam terhad, yang diperbadankan pada 8 Mei 2003 di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai alamat di Suite 132G, Tingkat 2, Wisma MISHAH, Jalan Raja Abdullah di Kuala Lumpur.
Enam tuduhan
Sementara itu, syarikat PKPM Services Berhad turut menghadapi enam pertuduhan dan Nor Azami yang mewakili syarikatnya tidak mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.
Bagi enam pertuduhan, syarikat PKPM Services Berhad didapati melakukan beberapa kesalahan utama di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu:-
Membiarkan jawatan setiausaha syarikat itu kosong lebih daripada satu bulan dari tarikh ia dikosongkan pada 1 Ogos 2003.
Gagal mencatatkan nama, nombor kad pengenalan, alamat kediaman, pekerjaan setiap setiausaha, pengarah dan kewarganegaraan ahli ke dalam buku Daftar Setiausaha, Pengarah dan Ahli
Gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang pertama dalam tempoh lapan belas bulan dari tarikh syarikat diperbadankan
Gagal menyerahsimpan penyata tahunan yang pertama dalam tempoh satu bulan daripada tarikh mesyuarat agung tahunan pertama
Bagi kesemua kesalahan itu, individu dan syarikat boleh dikenakan tindakan penalti di bawah Akta Syarikat berupa denda dari RM1,000 hingga RM5,000 setiap kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Narainasami memohon untuk satu tarikh singkat agar sejumlah 26 pertuduhan dapat dibicarakan bersama kerana melibatkan saksi dan dokumen yang sama.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 dan 14 Disember depan sebagai tarikh bicara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.